Jika bayarannya lumayan, saya akan datang belasah Johan Ghazali di Malaysia — Peninju Bosnia


  • Podium
  • Jumaat, 17 Okt 2025

Puric dilaporkan pernah menawarkan diri menjadi rakan sparring Johan.

DENIS Puric memberi amaran terbuka kepada juara remaja Malaysia, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar bahawa dia bersedia memukulnya di Malaysia tetapi hanya sekiranya ONE Championship menawarkan bayaran yang setimpal.

Dalam satu temu bual dengan Bangkok Post, veteran berusia 40 tahun yang dikenali sebagai 'The Bosnian Menace' itu berkata, pertarungan itu tidak memberi faedah kepadanya kecuali jika ia melibatkan bayaran yang besar. 

Kenyataan berkenaan datang susulan hantaran media sosial Johan Ghazali yang mendakwa dirinya sebagai perintis bagi arena sukan tempur di Malaysia.

BACA LAGI: 'Tak sia-sia selama ini practice gelak Datuk-Datuk', Jojo Ghazali terima anugerah Ahli Bintang Sarawak

BACA LAGI: 'Dia memang lahir dengan gaya 'swagger', ibu Johan Ghazali nafi anak makin sombong lepas popular

Puric ketawa apabila dimaklumkan tentang hantaran Ghazali dan menggelarkan jaguh remaja itu berada dalam dunia khayalan.

"Budak iniberkhayal. Pertarungan itu tidak memberi sebarang manfaat kepada saya. Jika saya menang, mereka akan berkata, ‘Awak tewaskan seorang budak.’ Jika saya kalah, mereka akan berkata, ‘Awak tewas di tangan seorang budak.’ Ia memang tidak masuk akal bagi saya," katanya. 

Bagaimanapun, Puric menegaskan beliau tidak menolak pertarungan secara mutlak asalkan imbuhan adalah lumayan.

"Tetapi jika mereka membayar saya dengan wang yang banyak, tentu sekali saya akan belasah budak ini dengan teruk. 

"Bayar saya jumlah yang lumayan di Malaysia dan saya akan pukul dia di kampung halamannya dan tutup mulut semua penyokongnya. Mereka gila, orang-orang ini," ujarnya.

Perang mulut antara kedua-dua petarung itu telah berlanjutan beberapa bulan, apabila Johan Ghazali berulang kali mencabar Puric untuk bertarung. 

Walaupun Johan Ghazali kini dianggap antara bintang besar sukan tempur di Malaysia, Puric berpendapat perhatian itu telah membuatkan petarung muda berkenaan menjadi besar kepala.

"Dia bukan petarung yang teruk, tetapi dia juga bukan petarung yang hebat.

"Suatu hari nanti mungkin dia akan jadi hebat jika dia keluar dari kepalanya sendiri. Ambil iktibar dan belajar merendah diri. Awak tak perlu lakukan semua ini," jelasnya. 

Di sebalik kata-kata pedas tersebut, Puric menegaskan tiada dendam peribadi antara mereka dan ia lebih kepada hal perniagaan.

"Saya tidak membenci sesiapa. Saya sayangkan semua orang. 

"Tetapi dengan wang yang saya terima sekarang, pertarungan itu tidak masuk akal sama sekali. Jika ia mendatangkan duit, barulah ia masuk akal," tambahnya. 

Puric memberi amaran terbuka kepada juara Johan Ghazali. 

Puric dan Johan Ghazali pernah bertemu bulan lalu semasa Kejohanan Dunia Remaja IFMA 2025 di Abu Dhabi, apabila kedua-duanya bertindak sebagai jurulatih. 

Mereka sempat bergambar bersama dan Puric dilaporkan menawarkan latihan tanding (sparring) kepada Ghazali.

"Saya beritahu dia, ‘Mari pakai pelindung tulang kering dan berentap.

"Jika dia berjaya mengatasi saya, mungkin saya akan berikan dia peluang untuk bertarung itu," jelasnya. 

Sehingga kini, fokus Puric kekal pada pertarungan menentang Takeru dan peluang untuk merebut gelaran flyweight kickboxing. 

Namun dia memberikan amaran bahawa sekiranya ONE Championship melihat nilai komersial yang cukup semasa acara mereka kembali ke Malaysia, petinju itu bersedia untuk menerima pertarungan dengan rentak lebih tinggi.

"Hei, terpulanglah apa yang dia mahu. Dia terkenal di sana, mereka buat perarakan untuknya. Saya gembira untuk dia tetapi jika mereka bayar saya dengan betul, saya akan tutup mulut dia," kata Puric. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram