
JALUR Gemilang berkibar megah di bumi Eropah apabila pasukan wanita Malaysia muncul juara Nations Cup dalam Kejohanan Petanque Wanita Dunia 2025 yang berlangsung di Douai, Perancis pada Ahad.
Kejayaan membanggakan itu dikongsikan menerusi laman Facebook rasmi Mbsf Boules Petanque, yang turut merakamkan penghargaan kepada keempat-empat atlet negara atas pencapaian luar biasa mereka di pentas antarabangsa.
Skuad wanita negara diwakili Nur Thahira Tasnim Abdul Aziz, Sharifah Aqilah Farhana Syed Ali, Jasnina Jasmine Johan Johnson dan Nur Durratul Sahira Yazit yang beraksi cemerlang sepanjang kejohanan dan berjaya membawa pulang pingat emas dalam kategori Nations Cup.
BACA LAGI: Kongsi foto atas padang, 2 pemain warisan optimis kembali beraksi secepat mungkin
BACA LAGI: FIFA tak persoal prosedur JPN tapi kelayakan 7 pemain warisan — Khairi
“Tahniah pasukan wanita Malaysia! Kami amat berbangga dengan semangat juang dan dedikasi yang ditunjukkan sehingga berjaya mengharumkan nama negara di peringkat dunia,” katanya.
Malaysia memastikan kejuaraan selepas menundukkan Itali dalam aksi final dengan skor 13-6, sekali gus dinobatkan juara Nations Cup 2025.
Sebelum itu, dalam perlawanan pusingan 16 pasukan, skuad negara menewaskan Jepun dengan keputusan 13-5 menunjukkan prestasi mantap dan konsisten.
Momentum cemerlang itu diteruskan pada peringkat suku akhir selepas wakil Malaysia itu mudah menyingkirkan Norway menerusi keputusan 13-3 untuk meneruskan kemaraan.
Siapa sangka, rezeki sekali lagi berpihak kepada skuad negara apabila mudah menewaskan Austria untuk mara ke final yang akhirnya menyaksikan mereka bertemu Itali sebelum bergelar juara.
Kemenangan itu bukan sahaja membuktikan kemampuan atlet wanita Malaysia di peringkat dunia, malah menjadi suntikan semangat kepada perkembangan sukan petanque tanah air. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram