Kisah berbeza 2 bintang ‘terperap’ JDT, seorang bergelut seorang lagi terus konsisten


  • Podium
  • Sabtu, 11 Okt 2025

Dua bintang JDT mempamerkan prestasi berbeza selepas diberi peluang dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan. — Facebook/JST

DUA tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) mempamerkan prestasi berbeza ketika diberi kepercayaan oleh Ketua Jurulatih kebangsaan, Peter Cklamovski dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos pada Khamis.

Perlawanan yang berakhir dengan kemenangan berpihak kepada Malaysia itu memperlihatkan dua kualiti berbeza dipamerkan antara penyerang Romel Morales dan pemain pertahanan kiri, La’Vere Corbin Ong yang diberi kepercayaan sebagai kesebelasan utama.

Walaupun diberi peranan sebagai penyerang utama selama 82 minit, Morales gagal memanfaatkan beberapa peluang keemasan di hadapan gawang lawan.

BACA LAGI: Romel Morales kurang sesuai peranan 'target man' berbanding kapten kelab Lembah Klang, bintang Borneo

BACA LAGI: Tanpa TMJ, bola sepak Malaysia sudah lama berakhir — Peter Cklamovski

Morales mempamerkan persembahan yang cukup mengecewakan penyokong Harimau Malaya. — Facebook/Malaysia NT

Beberapa percubaannya turut tersasar jauh atau tepat ke dakapan penjaga gol Laos, Kop Lokphathip.

Gaya permainan statik serta kurangnya pergerakan aktif menjadikannya tidak cukup mengancam benteng pertahanan Laos, sekali gus menimbulkan kekecewaan dalam kalangan penyokong.

Kelemahan dari segi penyudah dan membuat keputusan di kawasan kritikal yang dipamerkan oleh Morales turut menjadi antara punca ketumpulan jentera serangan skuad Harimau Malaya.

Walaupun Morales berusaha membantu dalam tekanan tinggi ke atas pertahanan lawan, kegagalannya menjaringkan gol dilihat satu kerugian besar, lebih-lebih lagi apabila Malaysia mencipta banyak peluang sepanjang perlawanan.

Prestasi hambar itu dikatakan berpunca daripada kekurangan minit permainan yang diraih oleh Morales di JDT memandangkan bekas penyerang Kuala Lumpur City FC itu hanya memanaskan bangku simpanan.

Jadi, tidak hairanlah sekiranya Morales kini dilihat bergelut untuk mecipta sebarang gol ketika dia diberi kepercayaan untuk mengemudi jentera serangan.

Untuk rekod, Morales hanya mencatatkan 170 minit permainan bersama skuad Harimau Selatan musim ini.

Corbin Ong tampi cemerlang menjaga benteng pertahanan skuad Harimau Malaya. — Facebook/Malaysia NT

Berbeza dengan Morales, Corbin Ong mempamerkan disiplin dan konsistensi tinggi di posisi bek kiri.

Walaupun jarang beraksi bersama JDT musim ini, pemain berusia 34 tahun itu tidak menunjukkan sebarang tanda kekurangan rentak.

Corbin bukan sahaja kukuh di benteng pertahanan, malah kerap naik membantu serangan dan menghasilkan beberapa hantaran berbahaya yang hampir membawa kepada jaringan.

Persembahan bertenaganya turut mencuri perhatian penyokong yang memuji semangat juang dan kerajinannya di atas padang.

Prestasi meyakinkan itu membuktikan bahawa kekurangan minit permainan di peringkat kelab bukanlah penghalang untuk Corbin terus mengekalkan tempatnya dalam kesebelasan utama negara.

Walaupun hanya beraksi tiga kali dengan mencatatkan 180 minit permainan bersama Harimau Selatan musim ini, Corbin tetap menunjukkan prestasi cemerlang bersama pasukan kebangsaan.

Aksi kedua-dua pemain JDT itu jelas memperlihatkan dua dimensi berbeza, Morales yang masih mencari sentuhan tajam di peringkat antarabangsa, manakala Corbin Ong menunjukkan pengalaman dan ketenangan yang menjadi aset penting buat skuad Harimau Malaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram