
NAMA penyerang Harimau Malaya, Romel Morales kini menjadi bualan hangat dalam kalangan penyokong selepas aksi kurang meyakinkan yang dipamerkannya ketika pertemuan menentang Laos dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 baru-baru ini.
Walaupun Malaysia berjaya mencatat kemenangan dalam perlawanan pertama pusingan kelayakan tersebut, prestasi Morales tetap menerima kritikan hebat terutamanya berhubung kegagalannya menyempurnakan beberapa peluang terhidang di depan gol.
Penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu dilihat bergelut di jentera serangan apabila beberapa percubaan mudah tersasar jauh atau terus ke dakapan penjaga gol Laos, Kop Lokphathip sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong tanah air.
BACA LAGI: Kisah berbeza 2 bintang ‘terperap’ JDT, seorang bergelut seorang lagi terus konsisten
Skuad Harimau Malaya bakal melayan kunjungan daripada Laos bagi aksi timbal balik pada Selasa. — Facebook/Malaysia NT
Ketumpulan di hadapan gol itu mengundang persoalan mengenai keberkesanan Morales sebagai tonggak utama serangan Harimau Malaya, khususnya dalam situasi penting di pentas Asia.
Menjelang aksi timbal balik menentang Laos yang dijadual berlangsung di gelanggang sendiri, spekulasi semakin hangat bahawa Morales mungkin tidak akan diturunkan dalam kesebelasan utama.
Sebaliknya, dua penyerang lain dikatakan berada dalam radar Ketua Jurulatih, Peter Cklamovski untuk menggantikan tempat pemain naturalisasi itu.
Cklamovski dijangka merombak strategi serangan demi memastikan kemenangan lebih meyakinkan diraih di hadapan ribuan penyokong sendiri pada perlawanan timbal balik kelak.
Bagi memberi gambaran awal, Majoriti menyenaraikan dua calon penyerang yang dilihat berpotensi besar untuk mengambil alih posisi Morales dan menjadi pilihan utama dalam pertemuan kedua menentang Laos pada 14 Oktober ini.
1) Paulo Josue
Penyerang berpengalaman Kuala Lumpur City FC, Paulo Josue kini menjadi antara calon utama yang disebut-sebut penyokong untuk mengisi posisi serangan Harimau Malaya menjelang aksi timbal balik menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Pengaruh Josue dalam skuad kebangsaan bukan sesuatu yang asing kerana pemain naturalisasi itu telah mengumpul 29 kaps bersama Harimau Malaya, satu rekod yang mencerminkan tahap keyakinan barisan kejurulatihan terhadapnya.
Lebih meyakinkan, kapten KL City itu telah menyumbang sembilan gol sepanjang penampilannya bersama skuad kebangsaan, menjadikannya antara pemain yang mempunyai sentuhan penyudah berbahaya dalam pasukan.
Josue dijangka diturunkan sebagai keselasan utama Harimau Malaya menjelang aksi bertemu Laos nanti. — Facebook/Malaysia NT
Keupayaan Josue turut diperkukuh dengan pengalamannya beraksi di bawah kendalian Peter Cklamovski apabila dia diturunkan dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal pada 25 Mac lalu, serta aksi persahabatan menentang Cape Verde pada 29 Mei.
Hubungan baik dan persefahaman yang sudah terbina antara Josue dan Cklamovski pastinya memberi kelebihan kepada pemain berusia 36 tahun itu untuk menyesuaikan diri dengan taktikal yang diterapkan oleh jurulatih kelahiran Australia tersebut.
Dengan segala pengalaman dan pencapaian yang dimilikinya, tidak mustahil Paulo Josue bakal menjadi pilihan utama untuk mengemudi jentera serangan Harimau Malaya dalam perlawanan penting di laman sendiri nanti.
2) Jordan Mintah
Siapa sangka penyerang Kuching City FC, Jordan Mintah kini turut disebut-sebut sebagai antara calon untuk mengisi posisi serangan Harimau Malaya menjelang aksi timbal balik menentang Laos pada 14 Oktober ini.
Walaupun masih belum memiliki sebarang kaps bersama skuad kebangsaan, ketajaman penyerang naturalisasi baharu itu di hadapan gol jelas menarik perhatian penyokong yang menginginkan wajah segar dalam jentera serangan negara.
Mintah yang menunjukkan prestasi konsisten bersama The Cats dalam saingan Liga Malaysia membuktikan keupayaannya sebagai penyerang tulen dengan rekod jaringan yang memberangsangkan.
Pada musim lalu, pemain berusia 30 tahun itu telah meledak 15 gol dalam 28 perlawanan, satu pencapaian yang menyerlah untuk kelab sepert Kuching City.
Penyerang naturalisasi Harimau Malaya, Jordan Mintah. — Facebook/Malaysia NT
Musim 2025/26 pula menyaksikan Mintah meneruskan rentak cemerlang apabila berjaya membuka akaun jaringannya walaupun saingan baharu sahaja bermula.
Kemampuan fizikal dan naluri pemusnah di depan pintu gol menjadikan posisi penyerang utama amat serasi dengan gaya permainan Mintah sekali gus memberikan satu lagi pilihan yang bernilai buat pengendali Harimau Malaya, Cklamovski.
Namun begitu, impian penyokong untuk menyaksikan penampilan sulung Mintah dalam jersi kebangsaan masih bergantung kepada status naturalisasinya yang dilaporkan masih belum dimuktamadkan sepenuhnya.
Difahamkan, proses dokumentasi penting masih berjalan dan perlu dilengkapkan sebelum dia boleh didaftarkan secara rasmi sebagai pemain kebangsaan.
Sekiranya segala urusan tersebut selesai sebelum perlawanan pada 14 Oktober, tidak mustahil Jordan Mintah akan menjadi kejutan dalam kesebelasan utama Harimau Malaya untuk aksi timbal balik menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram