[VIDEO] Terlepas 3 kejohanan, Lee Zii Jia sedia pertahan gelaran juara Terbuka Australia


  • Podium
  • Jumaat, 10 Okt 2025

Penyertaan Zii Jia dalam Terbuka Australia itu seolah-olah menunjukkan dia sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan belakang sebelum ini. — Instagram/leeziijia

PEMINAT sukan badminton negara boleh menarik nafas lega apabila pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia disahkan bakal mempertahankan gelaran sebagai juara Terbuka Australia yang akan berlangsung dari 18 hingga 23 November ini.

Menerusi laporan kelayakan yang dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Jumaat, Zii Jia bersama tiga lagi wakil Malaysia dalam acara perseorangan lelaki iaitu Leong Jun Hao, Justin Hoh dan Aidil Sholeh Ali Sadikin bakal menyertai kejohanan terbabit.

Penyertaannya dalam kejohanan tersebut dilihat sebagai petanda positif bahawa pemain berusia 27 tahun itu telah pulih sepenuhnya daripada kecederaan belakang yang dialaminya sebelum ini.

BACA LAGI: [VIDEO] Tradisi dikekalkan, skuad Double Treble santuni rakyat Kedah bukti sokongan peminat jangan dipandang 'sebelah mata'

BACA LAGI: Romel Morales kurang sesuai peranan 'target man' berbanding kapten kelab Lembah Klang, bintang Borneo

Sekiranya namanya kekal dalam senarai sehingga tarikh akhir penarikan diri pada 10 November, ia akan mengesahkan kesediaannya untuk kembali bersaing di pentas kompetitif.

Untuk rekod, Zii Jia merupakan juara bertahan kejohanan itu selepas menewaskan Kodai Naraoka dari Jepun di final Terbuka Australia tahun lalu.

Bagaimanapun, pada 1 Oktober lalu, pasukan Team LZJ mengumumkan bahawa Zii Jia dinasihatkan untuk menjalani program pemulihan susulan kecederaan belakang, sekali gus memaksanya menarik diri daripada menyertai tiga kejohanan penting antaranya Terbuka Denmark, Terbuka Perancis dan Hylo Open pada bulan ini.

Sebelum itu, Zii Jia juga berdepan masalah kecederaan buku lali yang menjejaskan aksinya sepanjang musim.

Dia hanya kembali ke gelanggang pada Ogos lalu di Kejohanan Dunia di Perancis, diikuti Terbuka Hong Kong dan China Masters, namun tersingkir seawal pusingan pertama dalam ketiga-tiga kejohanan tersebut.

Penyertaan semula Zii Jia di Terbuka Australia pastinya memberi harapan baharu kepada peminat untuk melihat kebangkitan semula pemain nombor 1 negara itu menjelang musim 2025. — The Star/ADAM ZAMRI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram