Proses beri kerakyatan ikut saluran betul, ada statut itu hal FIFA dan FAM — Saifuddin


  • Podium
  • Khamis, 09 Okt 2025

Proses pemberian kerakyatan kepada semua tujuh pemain warisan adalah dibuat berdasarkan undang-undang. — Malaysia/NT

 

 

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan proses pemberian kerakyatan kepada semua tujuh pemain warisan adalah dibuat berdasarkan undang-undang sambil menjelaskan isu berbangkit berkemungkinan disebabkan statut FIFA.

Dalam persidangan Dewan Rakyat pada Khamis, beliau menjelaskan keputusan itu dibuat mengikut Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan iaitu permohonan untuk menjadi warganegara yang datang daripada kerakyatan asing.

Menurutnya, isu tersebut berbangkit kerana tindakan yang diambil oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ke atas pemain bola sepak Harimau Malaya.

BACA LAGI: Bukannya lalang, fans Sabah tak sanggup lagi keluarkan RM600 hanya tonton kekalahan

BACA LAGI: ‘Janji tengok The Cats menang depan mata’, fans otai tak kisah tempuh 20 jam perjalanan, keluar kos hampir RM1,000

"Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan kerajaan mempertimbang dan memproses keputusan tentang warganegara.

"Ada tiga rukun digunakan untuk membuat keputusan ini iaitu pemohon itu sendiri mesti memohon dan tak boleh melalui ejen. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tak pernah guna khidmat ejen.

"Pemohon kena bermastautin di Malaysia dalam satu tempoh, berkelakuan baik dan pemahaman terhadap bahasa Melayu mencukupi. Bila kita semak, perkara itu dipatuhi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Zakri Hassan (PN-Kangar) mengenai statistik pemain dinaturalisasikan sejak 2018 serta kelayakan dan kriteria digunakan kerajaan atau FAM dalam proses penentuan pemain untuk dinaturalisasikan ketika Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.

 

 

 

 

Pada masa sama, Saifuddin turut menegaskan bahawa proses pemberian warganegara kepada tujuh pemain bola sepak kebangsaan telah dijalankan mengikut lunas undang-undang sedia ada.

Menurutnya, permohonan para pemain diproses berdasarkan Kaedah-Kaedah Warganegara 1964 termasuk keperluan mengisi Borang C yang dilengkapi butiran pasport dan dokumen berkaitan.

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa proses pemberian taraf warganegara sahaja tidak menjamin kelayakan pemain untuk mewakili negara di peringkat antarabangsa kerana perkara tersebut tertakluk kepada peraturan FIFA.

“Mengikut FIFA Statute, seseorang pemain hanya layak mewakili negara jika memenuhi salah satu daripada empat syarat: pertama, pemain dilahirkan di negara tersebut; kedua, ibu atau bapa pemain dilahirkan di negara itu; ketiga, datuk atau nenek dilahirkan di negara tersebut; dan keempat, pemain telah tinggal secara berterusan di negara itu untuk satu tempoh masa tertentu,” jelas beliau.

Saifuddin turut menyatakan bahawa dalam kes tujuh pemain tersebut, isu utama bukanlah pemberian warganegara, tetapi kelayakan mereka untuk berdaftar dengan FIFA.

"Ini merupakan urusan antara FAM dan FIFA," tambahnya.

Beliau mengulas lanjut bahawa FIFA mendakwa terdapat maklumat yang tidak tepat atau palsu, namun FAM menjelaskan bahawa maklumat tersebut diperoleh terus daripada pemain yang terlibat.

Kini, perkara tersebut sedang dalam proses rayuan dan perbincangan antara FAM dan FIFA.

“Itu soal pemain warisan dan kelayakan. FIFA kata maklumat itu palsu. FAM kata itu maklumat yang diberi oleh pemain sendiri. Jadi, biarlah isu ini diselesaikan oleh pihak berkaitan,” katanya.

Saifuddin mengakhiri kenyataannya dengan menegaskan bahawa dari sudut perundangan negara, proses pemberian warganegara telah dilakukan secara sah dan telus, mematuhi segala peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan peraturan berkaitan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram