Bukannya lalang, fans Sabah tak sanggup lagi keluarkan RM600 hanya tonton kekalahan


  • Podium
  • Khamis, 09 Okt 2025

Sabah FC ketika ini masih bergelut untuk mendapatkan kemenangan pertama dalam saingan Liga Super bagi musim 2025/26. — Facebook/sabahfc

PRESTASI Sabah FC dalam saingan Liga Super 2025/26 kini berada pada tahap membimbangkan apabila pasukan Sang Badak menghuni tangga ke-12 tanpa sebarang kemenangan selepas enam perlawanan.

Skuad Sang Badak hanya mengumpul tiga mata hasil tiga keputusan seri dan tiga kekalahan dalam saingan Liga Super.

Walaupun memiliki barisan pemain berkualiti, prestasi Sabah semakin merosot apabila tidak mencatatkan sebarang kemenangan dalam saingan Liga Super.

BACA LAGI: ‘Janji tengok The Cats menang depan mata’, fans otai tak kisah tempuh 20 jam perjalanan, keluar kos hampir RM1,000

BACA LAGI: Kehilangan Iker Undabarrena akhirnya terjawab, anggap alami musim ‘menakjubkan’ bersama JDT

Sabah FC ketika ini menghuni tangga kedua tercorot dalam saingan Liga Super musim 2025/26. Facebook/sabahfc

Keadaan itu menimbulkan rasa kecewa seorang penyokong setia dari pedalaman Sabah, Alonk Long Haizeq menerusi laman Facebook.

Penyokong yang berasal dari Keningau itu mendedahkan pengorbanan yang dibuatnya demi memberikan sokongan kepada Sabah FC termasuk perjalanan jauh ke Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah.

Namun, setiap kali perlawanan di laman sendiri, pasukan The Rhinos gagal meraih kemenangan dan sekadar seri atau kalah.

“Kadang kala saya terpaksa ulang-alik dari Keningau ke Kota Kinabalu, keluar awal subuh dan balik lewat malam hingga 3 pagi. Keesokan harinya, saya masih perlu bangun awal untuk kerja walaupun badan letih, semua ini demi sokongan kepada Sabah FC,” katanya.

Bercerita mengenai pengalaman peribadinya untuk hadir ke satu perlawanan di Stadium Likas, kos yang perlu ditanggung olehnya mencecah RM600 namun belum termasuk kos membeli jersi rasmi pasukan.

Sabah FC kini dilihat bergelut untuk mendapatkan kemenangan pertama dalam saingan Liga Super. Facebook/sabahfc

"Kos yang perlu dikeluarkan termasuk minyak kereta (tanpa penyelenggaraan/tyre) menelan RM120, sewa penginapan bagi satu malam pula RM200.

"Makan dan minum untuk tiga orang dalam RM150, tiket masuk untuk tiga orang pula adalah RM75 dan tenaga dan keselamatan pemanduan," katanya.

Penyokong setia Sang Badak itu turut menegaskan bahawa mereka bukan tidak setia, tetapi suara mereka adalah tanda kepedulian terhadap pasukan kesayangan.

Menurutnya, para penyokong ingin melihat perubahan dan peningkatan prestasi pasukan.

"Bukan kami tidak setia, tapi kami peduli. Kami sayang pasukan, sebab tu kami bersuara. Kalau tiada suara dari penyokong, siapa lagi mau nampak perubahan lebih baik utk pasukan?," tambahnya.

Meskipun memiliki barisan pemain yang berkualiti namun Sabah FC nampaknya masih bergelut untuk mencipta keserasian. Facebook/sabahfc

Tambahnya, walaupun ada yang melabel penyokong sebagai ‘lalang’, mereka tetap berhak menyuarakan ketidakpuasan hati demi kebaikan pasukan.

"Kalau orang mahu cakap penyokong lalang, okey saja. Tapi ingat, yang cakap itu mungkin tidak mau pasukan yang mereka sokong itu meningkat dan perubahan yang lebih baik setiap tahun.

"Jadi, orang mau label sebagai penyokong lalang kami tidak peduli. Penyokong berhak bila nampak ada yang tidak menjadi dalam pasukan. Tapi kami tetap akan bersuara demi kebaikan Sabah FC," katanya.

Sebagai peringatan, Alonk menyeru pengurusan Sabah FC supaya segera mengambil langkah reformasi bagi mengelakkan Stadium Likas yang sentiasa meriah dengan sorakan penyokong kembali sunyi.

"Kalau pengurusan Sabah FC masih tidak mempunyai tujuan dan kajian, tidak mustahil Stadium Likas akan kembali kosong, sunyi," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram