[VIDEO] Kapal misi kemanusiaan Malaysia dipintas tentera rejim, PM Anwar desak pembebasan segera aktivis


  • Massa
  • Rabu, 08 Okt 2025

Tangkap layar memaparkan tentera rejim menahan aktivis di atas sebuah kapal misi kemanusiaan ke Gaza.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera rejim memintas kapal misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens To Gaza (TMTG) yang dalam perjalanan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza pada Rabu.

Beliau menyifatkan tindakan menahan kapal yang membawa bantuan untuk rakyat Gaza sebagai tidak berperikemanusiaan serta mencabuli prinsip asas hak asasi manusia dan maruah kemanusiaan sejagat.

"Saya dimaklumkan bahawa kapal misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens To Gaza (TMTG) yang turut membawa rakyat Malaysia telah dipintas secara tidak sah di perairan antarabangsa oleh tentera Zionis Israel sekitar pukul 10.50 pagi waktu Malaysia.

"Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan provokatif dan melanggar undang-undang antarabangsa ini. Tindakan menahan kapal kemanusiaan yang membawa bantuan untuk rakyat Gaza adalah tidak berperikemanusiaan dan mencabuli prinsip asas hak asasi manusia serta maruah kemanusiaan sejagat," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Anwar turut menuntut agar semua aktivis dan sukarelawan Malaysia dibebaskan serta-merta, diberikan perlindungan sewajarnya dan tidak dicederakan sepanjang tempoh tahanan.

"Saya menuntut agar kesemua aktivis dan sukarelawan Malaysia dibebaskan dengan segera, diberikan perlindungan sewajarnya dan tidak diapa-apakan sepanjang tempoh tahanan.

"Kerajaan Madani akan berusaha sedaya upaya melindungi setiap nyawa anak Malaysia yang terlibat dalam misi kemanusiaan ini dan akan berhubung dengan negara-negara rakan dan pertubuhan antarabangsa bagi memudah cara pembebasan mereka sesegera mungkin," tambah beliau.

Terdahulu, Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) mengesahkan kesemua kapal FFC-TMTG telah dipintas oleh tentera Israel dalam linkungan 120 batu nautika dari Gaza. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram