[VIDEO] Peringkat liga bola sepak amatur di Johor pun cacamarba sampai tumbuk pengadil, nak harap apa lagi?


  • Podium
  • Selasa, 07 Okt 2025

Tangkap layar pemain berjersi 13 menumbuk pengadil hingga mencetuskan pergaduhan.

SIKAP panas baran dan kurang profesional dalam kalangan pemain terus mencemarkan bola sepak peringkat amatur apabila seorang pengadil diserang dalam kejohanan anjuran M&M X Vigor Cup Series 2 2025 yang berlangsung di Johor.

Menerusi satu video tular dimuat naik pengguna Threads, Amenglahh, insiden memalukan itu berlaku pada minit ke-53 permainan antara Sixteen Street FC (16ST) dan UTFC dalam saingan Kumpulan A kejohanan tersebut.

Berdasarkan video yang dimuat naik, kekecohan bermula apabila pemain 16ST tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil ketika perlawanan mencatatkan kedudukan 2-3 memihak kepada UTFC.

BACA LAGI: Skandal bintang warisan beri kesan ekosistem bola sepak negara, FAM harus bertanggungjawab — PBMM

BACA LAGI: Hanya orang bodoh percaya pemain warisan Malaysia sah — Pemerhati Vietnam

Suasana di padang bertukar tegang apabila pemain berjersi biru itu mula membantah secara lantang, sebelum pengadil melayangkan kad kuning kepada pemain bernombor 13 kerana terus mempersoalkan keputusan tersebut.

Bagaimanapun, situasi bertambah buruk apabila pemain berkenaan bertindak menumbuk pengadil hingga mencetuskan pergaduhan fizikal antara kedua-duanya sebelum dileraikan oleh pemain lain dan pegawai pasukan.

Klip berdurasi hampir satu minit itu mengundang kecaman netizen yang menganggap insiden sedemikian sebagai bukti bahawa liga sosial dan amatur di negara ini masih jauh daripada standard profesional.

"Main liga sosial saja pun, bergaduh sampai macam ini sekali. Beria betul," tulis Amenglahh dalam hantaran ringkasnya yang kini menerima ribuan tontonan di media sosial.

Insiden itu menimbulkan persoalan mengenai tahap kesedaran dan budaya hormat terhadap pengadil di peringkat liga sosial, ia satu aspek yang perlu diperbetulkan sekiranya bola sepak amatur mahu dilihat lebih berwibawa setaraf Sunday League di England.

Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada kedua-dua pasukan mahupun pihak penganjur mengenai insiden memalukan bola sepak amatur di Johor berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram