[VIDEO] Pemandu Kenari rempuh motor, kereta gemparkan Sibu rupanya 'hantu' pil kuda


  • Tular
  • Isnin, 06 Okt 2025

Tangkap layar pemandu Kenari itu melanggar motosikal dan beberapa kereta di hadapannya.

POLIS menahan seorang lelaki kerana memandu kereta secara melulu sehingga merempuh motosikal dan beberapa buah kenderaan lain berhampiran sebuah sekolah di Jalan Oya dekat Sibu, Sarawak pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, saringan awal mendapati lelaki dalam lingkungan 20-an itu positif dadah amphetamine (pil kuda).

"Kejadian berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Elizabeth melibatkan sebuah kereta melanggar sebuah motosikal sehingga menyebabkan penunggangnya terjatuh.

BACA LAGI: [VIDEO] Wanita OKU ada sejarah mental maut terjatuh dari tingkat 15 apartmen di Shah Alam

BACA LAGI: Mangsa kedua nahas Tol Kajang meninggal dunia, tinggalkan 2 cahaya mata

 

 

"Selepas kejadian itu, pemandu kereta telah melarikan diri dan turut melanggar beberapa kenderaan lain di situ," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Zulkipli berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Terdahulu, tular satu video memaparkan sebuah kereta jenis Perodua Kenari dipercayai merempuh sebuah motosikal dan beberapa kenderaan lain dalam satu kejadian yang berlaku pada Ahad.

Video berdurasi 23 saat itu mula dikongsi oleh pengguna Facebook iaitu Baju Kitai, yang menzahirkan rasa kecewa terhadap sikap pemandu yang tidak sabar di jalan raya itu.

Katanya, insiden seumpama itu sering berlaku di Sibu apabila ada pemandu tergesa-gesa 'mencucuk' dari belakang hanya kerana enggan menunggu lampu isyarat merah, walhal keadaan di hadapan memang sesak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram