[VIDEO] Rompakan gaya 'counterstrike', 10 lelaki bersenjata kebas barang kemas RM3.1 juta di Sungai Golok


  • Benua
  • Isnin, 06 Okt 2025

Rakaman CCTV mengesan kumpulan perompak terbabit melarikan diri menaiki sebuah trak pikap berwarna putih. — Agensi

SERAMAI 10 suspek rompakan bersenjata dikehendaki polis selepas terlibat jenayah itu dalam kejadian di sebuah kedai emas di pusat beli-belah Big C, Sungai Golok pada Ahad.

Kejadian pada pukul 6.30 petang itu mencederakan seorang anggota tentera yang sedang membeli bekalan untuk pasukannya berhampiran kedai emas berkenaan.

Menurut jurucakap polis, kumpulan perompak itu masuk ke kawasan parkir menggunakan trak pikap sebelum menyerbu kedai emas Yaowarat Krungthep yang terletak di dalam kompleks beli-belah berkenaan.

BACA LAGI: Tren MySawasdee dari Padang Besar lepasi ujian, Surat Thani dijangka saingi populariti Hat Yai

BACA LAGI: Lebih 5 juta muat turun, aplikasi 'No Thanks' tanda solidariti untuk negara 'tembikai'

Lokasi rompakan bersenjata di  pusat beli-belah Big C.

"Lapan daripada lelaki terbabit yang semuanya berpakaian hitam dan bertopeng memasuki pasar raya berkenaan melalui Pintu Dua dan terus menuju ke kedai emas berkenaan," katanya.

Suspek yang bersenjatakan M16 dan AK104 kemudiannya melarikan sejumlah barang kemas bernilai kira-kira RM3.11 juta sebelum meloloskan diri dengan pantas.

Dalam insiden itu, berlaku tembakan yang mencederakan Sarjan Mejar Burisorn Radachai, 27, anggota tentera dari unit operasi Polis Sempadan ke-408. 

Mangsa cedera di paha, bahu dan pipi. Keadaannya dilaporkan stabil dan kini dirawat di Hospital Sungai Golok.

Pihak berkuasa mendapati kumpulan suspek menabur besi tajam (spike strip) dan meninggalkan tong gas seberat 15 kilogram dipercayai dipasang bom berhampiran pusingan U di hadapan Big C bagi menghalang polis.

Rakaman CCTV mengesan kumpulan perompak terbabit melarikan diri menaiki sebuah trak pikap berwarna putih.

Polis Sungai Golok segera mengepung kawasan terbabit dan bekerjasama dengan unit pemusnah bom (EOD) untuk memeriksa tong gas itu.

Operasi memburu kumpulan perompak sedang giat dijalankan.

Selepas suspek melarikan diri, dua letupan berlaku di lokasi berasingan iaitu berhampiran pusingan U depan Big C Sungai Golok dan kedua di pusingan U berhampiran kilang papan Khok Saya menghala ke daerah Sungai Padi. 

Tiada kecederaan dilaporkan akibat letupan tersebut.

Setakat ini belum dapat dipastikan sama ada kejadian ini adalah jenayah rompakan oportunis susulan harga emas kini berada pada paras tertinggi iaitu RM582 segram (emas 999) atau sebahagian daripada usaha terancang untuk menggugat kestabilan di wilayah sempadan selatan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram