Simpan pemadam sebagai kenangan terakhir, sahabat Abdul Fatah ziarah pusara setiap hari


  • Massa
  • Rabu, 01 Okt 2025

Antara gambar yang dikongsi di TikTok Khairol Rizal memperlihatkan rakan baik anaknya yang menziarahi pusara anaknya setiap hari.

KISAH persahabatan sejati antara dua murid sekolah rendah menyentuh hati ramai apabila Qarnain, sahabat karib kepada arwah Abdul Fatah tidak pernah gagal menziarahi pusara rakannya itu setiap hari sejak kanak-kanak tersebut dikebumikan pada 28 September lalu.

Lebih mengharukan, Qarnain turut menyimpan pemadam pemberian Abdul Fatah sebagai kenangan terakhir dengan ia merupakan simbol persahabatan tulus yang terjalin mesra di bangku sekolah.

Bapa kepada Abdul Fatah, Khairol Rizal Mustafar berkongsi kisah itu menerusi hantaran di media sosial dengan menyifatkan hubungan antara kedua-dua budak lelaki itu sebagai nilai persahabatn yang sejati.

BACA LAGI: [VIDEO] Trak terjunam gaung di Terowong Menora, seorang tentera terkorban

BACA LAGI: Hampir seminggu bertarung nyawa, budak parah ditukul penagih dadah di Bachok meninggal dunia

"Atah dan Qarnain ini kawan baik, meja pun sebelah menyebelah. Saiz badan, ketinggian pun hampir sama. Pak cik tahu Qarnain rindu dengan Abdul. Pak cik pun sama macam Qarnain.

"Anak sekecil ini tahu nilai persahabatan sejati. Persahabatan yang ikhlas lahir daripada hati yang bersih dan penuh kejujuran,” katanya.

Khairol turut menitipkan doa agar Qarnain terus kuat, belajar bersungguh-sungguh dan menjadi anak soleh yang membahagiakan ibu bapa, sebagaimana arwah sering memuji kecerdikan sahabatnya itu.

"Di akhirat nanti kita akan jumpa Abdul. Sebab nabi sebut, kita akan bersama dengan orang yang kita cintai semasa di dunia. Jangan risau, pasti Abdul akan jemput kita bersamanya di syurga," tulisnya lagi.

Perkongsian penuh sebak berkenaan juga disertakan dengan beberapa gambar Qarnain duduk setia di sisi pusara sahabat baiknya, menzahirkan rindu yang tiada penghujung.

Terdahulu, Abdul Fatah dilaporkan terjatuh ke dalam lubang berkenaan ketika memijak penutup lubang jenis fiber di kawasan sekolah di Lenggeng, Seremban, Negeri Sembilan sekitar pukul 9 pagi.

Kejadian itu berlaku ketika acara sukan sekolah yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Mohd Asna Amin sedang berlangsung. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram