
BAHAGIAN badan manusia seperti kepala, rahang, perut dan paha ditemui dalam perut seekor buaya yang berjaya ditangkap di Sungai Semanok, Tatau, Bintulu, Sarawak pada Rabu, lapor Harian Metro.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak mengesahkan bahawa bahagian tubuh tersebut dipercayai milik Jeffery Masing Win, 21, yang disambar buaya ketika mandi di anak sungai bersama abangnya sekitar pukul 8.30 pada Sabtu malam.
Menurut laporan, abangnya sempat untuk mencuba menyelamatkan Jeffery dengan menyerang buaya itu, namun gagal dan mangsa dibawa masuk ke dalam sungai oleh reptilia tersebut.
Jeffery Masing Win disambar buaya ketika mandi di anak sungai bersama abangnya sekitar pukul 8.30 pada Sabtu malam. — Facebook
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari keempat membuahkan hasil apabila penduduk kampung berjaya mengesan dan menangkap buaya terbabit pada pukul 9.25 pagi di kawasan berhampiran Rumah Panjang Win.
Buaya tersebut kemudian diikat dan ditarik ke daratan.
Pasukan penyelamat yang terdiri daripada JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dan Sarawak Forestry Corporation (SFC) tiba di lokasi selepas menerima laporan penemuan itu.
Proses pembedahan ke atas bangkai buaya dijalankan oleh SFC dengan bantuan anggota bomba sekitar pukul 10.30 pagi.
"Hasil pembedahan mendapati beberapa bahagian tubuh manusia berada dalam perut buaya tersebut," kata jurucakap PGO.
Operasi pembedahan berakhir sekitar pukul 11.10 pagi dan organ manusia yang ditemui diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram