Wanita mangsa 'grooming' guru sejak usia 16 tahun tak dibela, kecewa ketidakadilan undang-undang


  • Bonda
  • Rabu, 01 Okt 2025

Mangsa kecewa undang-undang gagal melindungi remaja daripada si pedofilia. — Gambar hiasan/AI

RASA sebak bercampur terkejut menyelubungi seorang wanita selepas mengetahui individu yang memanipulasinya ketika berusia 16 tahun tidak boleh didakwa di mahkamah England.

Walaupun jelas melalui pengalaman dialami, beliau menjadi mangsa grooming, namun undang-undang sedia ada tidak mengklasifikasikan guru kelas lakonan itu sebagai pihak yang berada dalam kedudukan amanah (position of trust).

Situasi itu menimbulkan persoalan ramai mengenai kelemahan undang-undang yang seolah-olah membiarkan sesetengah remaja tanpa perlindungan, hanya kerana bidang mereka sertai tidak termasuk dalam undang-undang tersebut.

BACA LAGI: Kerajaan 'hapus' internet, wanita di Afghanistan hilang masa depan, putus hubungan dunia luar

BACA LAGI: [VIDEO] Pejuang TTC selama 6 tahun, pempengaruh umum hamil anak sulung, kini memasuki trimester kedua

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Jenny mendedahkan, ketika berusia 16 tahun, beliau berasa sunyi dan memerlukan perhatian.

Pada masa itu, tawaran kelas lakonan seakan memberi ruang baharu, namun bertukar menjadi pengalaman hitam apabila guru terbabit mula mendekatinya dengan cara yang halus.

Katanya, manipulasi itu berlaku perlahan-lahan sehingga dia percaya sedang menjalinkan hubungan seksual.

"Dia kata dia jatuh cinta, dia boleh berikan saya kebahagiaan, dia buat saya rasa istimewa. Bila usia masih 16 tahun, kita benar-benar rasa itu adalah cinta yang sejati," katanya.

Jenny hanya menyedari dirinya mangsa grooming ketika menuntut di universiti, apabila belajar tentang ciri-ciri manipulasi.

Segala pengalaman lalu seakan tanda semak satu persatu "tick, tick, tick", katanya.

Tidak berdiam diri, Jenny melaporkan kejadian itu kepada polis.

Walaupun pegawai penyiasat menyokong kes tersebut, pihak pendakwa raya akhirnya memutuskan tiada apa-apa kelakuan jenayah berlaku.

Alasannya, guru lakonan bukan dalam kategori 'kedudukan amanah' yang termaktub dalam undang-undang.

Keputusan itu mengejutkan Jenny yang beranggapan subjek yang diajar tidak sepatutnya menjadi faktor penentu sama ada seorang mangsa mendapat keadilan atau tidak.

"Ia tidak adil, menakutkan dan membuka ruang ramai pemangsa lain terlepas begitu sahaja," ujarnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram