
TULAR di media sosial sebuah rakaman video memaparkan dua individu dipercayai pelancong asing menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar di atas jalan raya.
Video berdurasi 16 saat yang dimuat naik oleh laman Facebook, DemiRakyat Channel itu menunjukkan seorang lelaki menunggang motosikal sambil membonceng seorang wanita.
Kedua-duanya pelancong asing tersebut dilihat santai berada di atas jalan raya tanpa memakai topi keledar dalam kejadian yang dipercayai berlaku di Lebuhraya Persekutuan.
Aksi berbahaya itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya yang rata-rata mempersoalkan sikap sambil lewa kedua-dua individu tersebut terhadap undang-undang jalan raya di Malaysia.
Menurut pengguna di Facebook, walaupun mereka adalah pelancong, tindakan undang-undang perlu diambil.
"Tangkap jangan tak tangkap pula, pelancong pun patut dikenakan tindakan undang-undang," kata Roger.
"Datang Malaysia, kenalah ikut undang-undang Malaysia, harap pihak berkuasa kenakan tindakan," kata Nazeri Kadir.
"Walaupun bukan warganegara Malaysia, tapi undang-undang tetap undang-undang, tiada istilah pelancong bebas dari hukuman," ujar Mohd Afzal pula.
Setakat ini, tiada kenyataan dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung insiden tersebut, termasuk pengesahan lokasi dan tarikh sebenar kejadian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram