
PEMAIN Ousmane Dembele mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai pemenang Ballon d'Or 2025 pada majlis gilang-gemilang di Théâtre du Châtelet, Paris, pada Selasa.
Bintang Paris Saint-Germain (PSG) berusia 28 tahun itu mengetepikan cabaran sensasi remaja Barcelona, Lamine Yamal, selepas melalui musim luar biasa yang menyaksikannya meledak 35 gol dalam 53 penampilan di semua kejohanan.
Statistik itu membantu PSG meraih treble Ligue 1, Piala Perancis serta trofi sulung Liga Juara-Juara.
BACA LAGI: Bukan Jordi Amat, tetapi 'wonderkid Garuda Merah' pemain Indonesia pertama sarung jersi JDT
BACA LAGI: [VIDEO] Bukan setakat Arif Aiman 'hilang', ini 3 lagi kesilapan besar Xisco Munoz
Namun kemenangan Dembele mencetuskan kontroversi apabila bapa kepada Yamal, Mounir Nasraoui, meluahkan rasa tidak puas hati dengan keputusan berprestij itu.
Menurutnya, keputusan menobatkan pemain Perancis tersebut sebagai pemenang adalah satu 'ketidakadilan moral'.
“Saya rasa ini adalah ketidakadilan terbesar, saya tidak mahu kata ia satu kecurian, tetapi ia benar-benar tidak adil.
"Lamine Yamal adalah pemain terbaik dunia, jauh lebih hebat daripada yang lain. Bukan kerana dia anak saya, tetapi kerana tiada siapa mampu menyainginya.
"Sesuatu yang pelik telah berlaku di sini,” katanya kepada rancangan El Chiringuito.
Ousmane Dembele mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai pemenang Ballon d'Or 2025. — Agensi
Sementara itu, ibu Dembele, Fatimata Dembele, tidak dapat menahan sebak apabila berkongsi detik bersejarah anaknya bergelar pemain terbaik dunia.
Dalam wawancara eksklusif bersama Le Parisien, wanita tersebut menyifatkan kejayaan Dembele itu sebagai mimpi yang tidak pernah dijangka.
“Ballon d'Or memang sesuatu yang luar biasa. Sejak kecil, dia bercakap tentang Barcelona dan impiannya, tetapi Ballon d'Or, kami tidak pernah bayangkan akan sampai ke tahap ini.
"Bayangkan anak sendiri diiktiraf sebagai pemain terbaik dunia, ia sungguh menakjubkan,” katanya.
Ousmane Dembélé is your 2025 Men's Ballon d'Or winnerpic.twitter.com/qAapBotgmc
— CBS Sports Golazo(@CBSSportsGolazo) September 22, 2025
Untuk rekod, musim lalu, selain 35 gol, Dembele turut merekodkan 16 bantuan jaringan untuk PSG yang mencipta sejarah treble.
Persaingan terdekatnya, Yamal, turut menyerlah bersama Barcelona apabila menjulang La Liga, Copa del Rey dan Piala Super Sepanyol, selain memenangi Trofi Kopa selaku pemain bawah 21 tahun terbaik dunia.
Dalam kategori lain, bintang Barcelona dan Sepanyol, Aitana Bonmatí, meraih Ballon d'Or Feminin buat kali ketiga berturut-turut, manakala Viktor Gyokeres dan Ewa Pajor memenangi Trofi Gerd Muller.
Penjaga gol PSG dan Itali, Gianluigi Donnarumma, serta Hannah Hampton dari Chelsea dinobatkan sebagai penjaga gol terbaik dunia.
Sementara itu, jurulatih PSG, Luis Enrique, dan pengendali skuad wanita England, Sarina Wiegman, dipilih pemenang Trofi Johan Cruyff sebagai jurulatih terbaik. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram