[VIDEO] 'Sorry buddy', Kino mohon maaf selepas Selangor dimalukan Bangkok United


  • Podium
  • Jumaat, 19 Sep 2025

Kinoshi tampil memohon maaf kepada penyokong selepas skuad Gergasi Merah tewas 2-4 kepada Bangkok United pada Khamis. — Facebook SFC

KETUA jurulatih Selangor FC (SFC), Katsuhito Kinoshi tampil memohon maaf kepada penyokong selepas skuad Gergasi Merah tewas 2-4 kepada Bangkok United dalam aksi pembukaan Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Khamis.

Lebih mengecewakan, Red Giants jelas dihukum dengan deretan kesilapan sendiri yang akhirnya memaksa mereka akur dengan kekalahan di laman sendiri.

Menerusi rakaman video seorang penyokong yang dimuat naik di laman Instagram lokal.futbol, Kinoshi yang mesra dipanggil Kino dilihat melakukan ‘fist bump’ sambil mengungkapkan permohonan maaf.

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan setakat Arif Aiman 'hilang', ini 3 lagi kesilapan besar Xisco Munoz

BACA LAGI:  [VIDEO] 'Apa sudah jadi Lira? Sedangkan bek JDT-Selangor pun sudah skor walaupun kali pertama beraksi Liga Super'

“Sorry buddy,” katanya ringkas dengan wajah sugul.

Sebelum ini, Kino turut mengakui kelemahan anak buahnya apabila melakukan terlalu banyak kesilapan sehingga terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

“Ini perlawanan yang sukar, tetapi kita sendiri yang menjadikannya lebih sukar. Kesilapan kecil yang dilakukan membunuh kita sendiri,” katanya.

 

 

Dalam aksi itu, Selangor dikejutkan dengan dua gol awal menerusi Ilias Alhaft dan Muhsen Al-Ghassani pada 15 minit pertama.

Skuad Merah Kuning kembali menghidupkan harapan selepas Chrigor Moraes merapatkan jurang pada minit ke-22, namun tidak sampai seminit kemudian, Ilias kembali meletakkan Bangkok United di depan 3-1.

Kedudukan bertambah rumit apabila Harith Haiqal Adam Afkar dilayangkan kad merah pada minit ke-38.

Bagaimanapun, Aliff Izwan Yuslan kembali menghidupkan semangat penyokong dengan gol kedua Selangor sebelum Philippe Maia memastikan kemenangan mutlak pelawat pada minit ke-83.

Selepas ini, skuad Gergasi Merah akan bertandang ke Sarawak untuk bertemu Kuching City bagi saingan Liga Super sementara aksi di pentas ACL2 akan menyaksikan mereka berdepan Lion City Sailors di Singapura. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram