[VIDEO] Mahu buktikan masih relevan, bantu Putra Abdullah jadi motivasi Jordan Boy batal niat bersara


  • Podium
  • Isnin, 01 Sep 2025

Jordan Boy mula mencuri perhatian apabila menandatangani kontrak dengan ONE Championship pada 2018.

 

 

WALAUPUN sudah bergelar usahawan dengan perniagaan sendiri yang dianggap berjaya, jaguh Muay Thai negara, Mohammed Mahmoud atau lebih dikenali sebagai Jordan Boy menegaskan dirinya belum bersedia untuk bersara daripada gelanggang.

Jordan dikenali sebagai atlet seni bela diri campuran (MMA) negara terutamanya dalam arena Muay Thai dan Kickboxing dengan pernah mecipta nama di pentas besar seperti di kejohanan ONE Championship pada 2018 hingga 2020.

Bagi atlet berusia 28 tahun itu, gelanggang bukan sekadar tempat mencari rezeki, tetapi juga nadi kehidupannya sejak mula menceburi seni mempertahankan diri tersebut lebih sedekad lalu.

BACA LAGI: [VIDEO] Sebelum 'musnahkan' Jordan Boy, A’mmarul Syafiq rupanya tahan sakit cedera

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Saya lagi suka cakap guna kaki tangan’, fight back to back bantu persiapan petarung Malaysia harungi UXR Showdown

"Perniagaan ialah perniagaan. Saya buat untuk keluarga dan anak-anak, tetapi fight ini memang kerjaya saya dan hobi saya. Kalau betul-betul saya dah tak nak fight, saya dah berhenti.

"Betul, saya dah ada perniagaan sendiri dan ada duit sendiri. Tapi fight ini memang tak boleh hilang dalam hidup saya," katanya yang menjalankan perniagaan dalam bidang fesyen sukan itu.

Jordan mendedahkan salah satu sebab utama dia terus turun beraksi ialah untuk memberi sokongan moral kepada adiknya, Putra Abdullah yang kini sedang meniti zaman kemuncak dalam kerjaya Muay Thai.

Jika dahulu Jordan berazam menjadi juara dunia, kini keutamaannya berubah apabila petarung berusia 28 tahun itu menekankan bahawa sasarannya hanya untuk membuktikan dirinya masih relevan dan pada masa sama membantu Putra mencapai tahap tertinggi dalam kariernya.

Adik kepada Jordan Boy, Putra Abdullah.

"Selagi Putra fight, selagi itu saya ada di belakang dia. Saya akan fight juga dengan dia, bagi dia semangat. Mungkin suatu hari nanti, Putra boleh harumkan nama Malaysia. Jadi peranan saya sekarang lebih kepada menyokong dia, bukan mengejar kejayaan untuk diri sendiri.

"Dulu memang saya letak target nak jadi world champion, tapi sekarang tidak. Sekarang saya cuma nak buktikan kepada semua, dulu saya memang bagus walaupun orang tak nampak sebab zaman saya berlawan dulu tak ada YouTube, tak ada liputan meluas.

"Sekarang, saya nak orang nampak improvement saya. Untuk diri saya, tiada target khusus. Semua fokus saya untuk Putra," jelasnya.

Putra petinju berusia 20 tahun memenangi kejuaraan di pentas antarabangsa dan digambarkan sebagai seorang atlet berbakat dan penuh semangat, dengan kemenangan terbaharu di Byon Combat Showbiz 5.

 

 

 

 

Selepas berhenti hampir tiga tahun, Jordan kembali aktif sejak tahun lalu, tetapi perjalanan untuk mendapatkan semula prestasi terbaik tidaklah mudah lebih-lebih lagi selepas kekalahan dalam penampilan semula.

“Ramai orang cakap macam-macam tentang saya. Tapi saya berhenti tiga tahun, bukan dua bulan. Lepas itu saya terus ambil fight dalam masa enam ke tujuh bulan. Jadi memang saya perlukan masa.

"Saya akui ada kekurangan, tapi game ketiga nanti saya nak tunjukkan improvement yang betul-betul. Itu target saya,” katanya yang sebelum ini tewas kepada rakan senagara, A’mmarul Syafiq Ubaidillahdi di Kejohanan Seni Bela Diri, Byon Combat 5 pada Julai lepas.

 

 

 

 

Dengan baki lima minggu menjelang aksi di UXR Showdown pada 27 September depan di Sukpa, Kuantan, Pahang, Jordan kini memberi tumpuan penuh kepada aspek kecergasan, teknik dan latihan tinju.

“Saya ada lima minggu terakhir ini, jadi saya fokus kepada fitness, teknik boxing dan semua latihan intensif. Tak ada dendam dalam Muay Thai ini. Kadang-kadang kita menang, kadang-kadang kalah.

"Paling penting kita tunjukkan sportsmanship. Lawan pun saya dah tengok gayanya, tiada masalah. Saya lebih tinggi, dia besar, jadi insyaaALLAH semua akan okey,” katanya yang akan bertarung dengan petinju dari Ghana di pentas UXR Showdown. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram