Bukan hanya omong kosong, ikrar Jojo 'tak koyak' 3 bulan lalu dibuktikan bangkit bedal lawan dari Maghribi


  • Podium
  • Isnin, 15 Sep 2025

Jojo bangkit dengan mencatatkan kemenangan ke atas Zakaria awal September lalu. — Agensi

NAMA atlet mempertahankan diri, Johan Ghazali sememangnya cukup mekar dalam kalangan peminat sukan tempur hari ini selepas dia menjadi antara yang terbaik dalam sukan terbabit.

Dia yang memulakan kariernya seawal usia 15 tahun sudah merekodkan tujuh kemenangan daripada 10 perlawanan, termasuk yang terbaru ketika menentang lawan dari Maghribi, Zakaria El Jamari pada 6 September lalu.

Kejayaan di kaca televisyen berkenaan sekali gus mengangkat anak jati Kuching, Sarawak itu sebagai permata cerah negara dalam seni mempertahankan diri.

BACA LAGI: 'Dia memang lahir dengan gaya 'swagger', ibu Johan Ghazali nafi anak makin sombong lepas popular

BACA LAGI: Hanya perlu 2 minit, Jojo Ghazali tumpaskan Zakaria El Jamari menerusi KO

Johan merupakan antara ahli gusti terbaik dalam negara walaupun masih muda. Agensi

Bagaimanapun, di sebalik kegemilangan diraih ketika ini, Johan kerap terpalit dengan kontroversi luar gelanggang selepas berkali-kali memberi kata-kata berunsur sindiran terhadap peminat.

Luahan tersebut kerap dikongsikan selepas atlet berusia 18 tahun itu terlibat dalam perlawanan yang akan membuatkan orang ramai memberi komen tersendiri.

Ini termasuk satu hantaran pada Jun lalu yang mengatakan dirinya sudah mengecapi pelbagai kejayaan sementara pengguna media sosial hanya tahu berselindung di sebalik alam maya.

"Aku umur 18 mengorbankan nyawa aku atas gelanggang demi mengangkat nama negara, pagi tadi aku bangun kaki sakit tak dapat nak jalan, kepala sakit.

"Korang cakap lah apa korang nak cakap, aku berlagak la, aku kejar glamour la apa la. Tapi korang jangan lupa, disebabkan aku yang usaha mengejar glamour, yang tak glamour pun boleh jadi glamour," tulisnya sebelum ini.

Hantaran terbabit difahamkan dibuat susulan kekalahannya kepada Diego Paez dalam kategori flyweight muay thai di Thailand dengan keputusan itu membuatkan orang ramai mempersoalkan prestasinya.

Perkongsian itu sekali lagi dimuat naik di laman Facebook Johan Ghazali JoJo Fans dengan peminat setia ahli gusti itu meminta supaya tiada lagi cemuhan dilemparkan terhadapnya.

"Saya sokong walaupun usia masih mentah, namun mentaliti biarlah cepat matang dan mempelajari setiap apa yang datang. Terimalah teguran, kritikan malah kecaman dari orang yang tidak pernah merasa kepayahan orang lain," tulis Dayak Lan Dayak.

"Saya tak pernah nak komen dalam mana-mana pun hantaran pasal Johan sebelum ni. Tetapi, saya ikuti semua perlawannanya dan lepas kenal, saya sokong impian dan perjuangan Johan dari jauh dan senyap-senyap sahaja.

"Jangan pernah peduli pun dengan apa kata mereka yang tak suka dengan awak, saya percaya ramai lagi orang macam saya yang sokong Johan tanpa suara. Anda sedang buat dengan baik," tulis Ismail Mohd Jamil.

Sokongan itu jelas membuahkan hasil kerana kejayaan menundukkan Zakaria membuktikan Johan dapat kembali bangkit dengan kemenangan akan datang sudah tentu bukan sesuatu yang mustahil. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram