Menu percuma sekolah di Surabaya disyaki punca pelajar muntah, tapi polis curiga ada video kononnya sebab kekenyangan


  • Benua
  • Khamis, 18 Sep 2025

Pihak polis turut mengesyaki ada campur tangan luar apabila terdapat usaha merakam video pelajar yang diarahkan untuk mendakwa kononnya mereka 'kekenyangan'.

POLIS Indonesia mendedahkan wujud rakaman video yang menunjukkan pelajar mengaku ‘kekenyangan’ dalam insiden beberapa murid muntah selepas menikmati menu Makanan Berkhasiat Percuma (MBG) di Sekolah Dasar Negeri (SDN) Pasanggar 1, Kecamatan Pegantenan, Pamekasan, Jawa Timur, Indonesia. 

Ketua Polis Balai Pegantenan, Inspektor Heri Siswanto berkata, hasil siasatan mendapati terdapat maklumat yang tidak tepat ketika pihaknya menjalankan siasatan di sekolah tersebut.

“Ketika kami tiba di sekolah, terdapat maklumat yang tidak sahih. Terdapat petunjuk bahawa pelajar telah didatangi pihak lain terlebih dahulu,” katanya pada Khamis.

BACA LAGI: Warden sahkan perpindahan pelajar ada kaitan kes Zara Qairina, tapi punca tak diketahui

BACA LAGI: Baju pendekar Melayu tak tepati syarat, ibu dakwa guru tak benarkan anak sertai pertandingan baju kebangsaan

Menurut beliau, siasatan awal menunjukkan seramai lapan murid disyaki mengalami muntah-muntah selepas memakan menu MBG.

Susulan itu, polis telah mengunjungi rumah beberapa murid terlibat dan menemui salah seorang waris, Zaini bagi mendapatkan keterangan lanjut.

“Selepas disoal siasat, ternyata punca muntah bukan kerana kekenyangan seperti didakwa, sebaliknya disyaki berpunca daripada makanan MBG itu sendiri,” jelas Heri.

 

 

Menurutnya lagi, majoriti murid memaklumkan mereka tidak berasa terlalu kenyang, namun mula muntah sejurus selesai menjamah hidangan MBG yang disediakan.

Pihak polis turut mengesyaki ada campur tangan luar apabila terdapat usaha merakam video pelajar yang diarahkan untuk mendakwa kononnya mereka ‘kekenyangan’.

Heri turut memaklumkan bahawa wujud percanggahan dalam maklumat yang diberikan pihak sekolah, khususnya berkaitan jumlah sebenar murid yang terkesan.

Susulan itu, siasatan diperluaskan kepada pelbagai pihak termasuk pengumpulan keterangan daripada murid dan waris mereka.

“Kami juga bertemu dengan pihak pengendali Program Sajian Pemakanan Garis Panduan (PSPG) serta pakar pemakanan dan menemui beberapa kejanggalan lain,” katanya.

Antara yang dibangkitkan adalah ketiadaan sampel makanan di dapur penyedia MBG yang sepatutnya disimpan sebagai bukti selama dua hari.

“Lazimnya makanan itu disimpan untuk tempoh tertentu sebagai rujukan, namun dalam kes ini, tiada satu pun sampel dapat kami temui,” jelasnya lagi sambil menyifatkan ia sebagai satu kemungkinan pelanggaran oleh pihak penyedia makanan.

Polis dijangka meneruskan siasatan untuk mengenal pasti pihak bertanggungjawab serta memastikan keselamatan makanan program MBG tidak menjejaskan kesihatan pelajar. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram