
SIAPA sangka, keputusan Danial Asri untuk meninggalkan Selangor FC bagi membolehkannya berkelana ke Kuching City FC membuahkan hasil selepas namanya kini mula disanjung-sanjung.
Dia yang kerap diletakkan di bangku simpanan semasa bersama skuad Gergasi Merah kerap dikritik penyokong sendiri setiap kali dibawa masuk sebagai pemain gantian.
Menyedari pandangan serong itu, penyerang kelahiran Rawang, Selangor tersebut kemudian memilih untuk menyertai skuad The Cats pada jendela perpindahan lalu.
BACA LAGI: [VIDEO] Danial Asri sudah nampak, Aidil Sharin minta fans sabar andai mahu lihat impak Nistelrooy
BACA LAGI: [VIDEO] Reziq Bani Hani makin menyerlah di Iraq, jauh beza berbanding ketika bersama Selangor
Danial Asri meninggalkan Selangor FC demi mendapatkan minit permainan lebih kerap.
Keputusan berkenaan sememangnya membuahkan hasil apabila Danial mula meletakkan kembali kariernya di landasan selepas meledak tiga gol dari tiga penampilan dengan duanya hadir dalam saingan Piala FA.
Ini merupakan satu peningkatan cukup bermakna buat pemain berusia 25 tahun itu yang sanggup meninggalkan pasukan kesayangan dan negeri kelahiran demi mendapatkan minit permainan.
Tindakan tersebut sewajarnya dicontohi beberapa rakan sepasukannya di Selangor FC yang sehingga hari ini belum meletakkan diri sebagai pemain utama apabila terus diletakkan di bangku simpanan.
Melihat kepada skuad Gergasi Merah ketika ini, terdapat tiga nama yang sepatutnya mula mencari pasukan baharu setelah terlalu lama membazirkan masa.
1. Syahir Bashah
Karier pemain sayap, Syahir Bashah kelihatan semakin rumit ketika ini apabila dia diletakkan dalam skuad simpanan Selangor FC yang beraksi dalam saingan Liga A1 Semi Pro.
Ini merupakan satu langkah serong daripada pemain berusia 24 tahun itu yang kini sepatutnya membuktikan diri dalam saingan Liga Super melihat kepada rekod terdahulunya.
Bagaimanapun, disebabkan tiada sebarang penambahbaikan ditonjolkan, pihak pengurusan kelab memilih untuk meminggirkannya dari pasukan utama.
Syahir (kiri) beraksi dalam saingan Liga A1 Semi Pro buat skuad simpanan Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC
Sekiranya Syahir mahu mengatasi masalah itu, dia perlu berani mencari pasukan baharu bagi musim-musim akan datang dalam usaha mengumpul lebih banyak minit kompetitif.
Meskipun pilihan semakin terhad, pemain yang berusia 24 tahun itu perlu berani dan keluar dari zon selesa dengan menyertai kelab seperti Imigresen FC dan Penang FC.
Pasukan tersebut bukanlah pencabar utama, namun pengalaman dimilikinya sepanjang tiga musim bersama Selangor FC menjadikannya aset penting, lebih-lebih lagi di padang latihan.
2. Mukhairi Ajmal
Tempoh dihabiskan Mukhairi Ajmal Mahadi selama hampir lima tahun bersama skuad Gergasi Merah bukanlah satu kegagalan kerana dia masih memiliki bakat tersendiri.
Namun, musim lalu, pemain tersebut semakin sukar untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama, baik ketika di bawah bimbingan Nidzam Jamil mahupun Katsuhito Kinoshi.
Ini adalah satu petanda cukup merisaukan buat pemain yang menyarung jersi keramat no 10 Selangor FC kerana dia sepatutnya berada dalam kesebelasan utama lebih kerap.
Mukhairi sepatutnya menjadi watak penting buat skuad Gergasi Merah ketika ini. — Facebook/Selangor FC
Malah, berdasarkan statistik musim ini, Mukhairi hanya sempat beraksi 160 minit dari empat perlawanan secara keseluruhan yang menceritakan peluang buatnya semakin terhad.
Antara destinasi terbaik buat pemain berusia 23 tahun itu merupakan Negeri Sembilan FC yang sedang dalam proses membangun semula di bawah kendalian Nidzam Jamil.
Meskipun tidaklah dijanjikan peluang dalam kesebelasan utama, minit permainan lebih kerap dapat mengembalikan keyakinan buat Mukhairi yang bertahun-tahun menghabiskan masa bersama skuad Gergasi Merah.
3. Azim Al-Amin
Karier Azim Al-Amin bersama Selangor FC tidaklah begitu mengecewakan, namun persaingan hebat di posisi penjaga gol membuatkannya sukar meraih minit permainan.
Ketika baru sahaja tiba dari Kuala Lumpur (KL) City FC musim lalu, dia perlu bersaing dengan Sam Somerville yang menjadi pilihan utama sejak kempen sebelumnya.
Namun, sejak kekalahan 1-6 kepada Johor Darul Ta'zim dalam perlawanan akhir Piala FA, dia pernah diberi peluang, termasuk dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two.
Persaingan hebat membuatkan Azim gagal merebut tempat dalam kesebelasan utama. — Facebook/Selangor FC
Tetapi, tidak lama selepas itu, Kinoshi dilihat lebih berminat dengan khidmat Kalamullah Al-Hafiz sebagai benteng pertahanan akhir dengan keputusan tersebut kekal ke hari ini.
Ini akan merencatkan perkembangan karier Azim, lebih-lebih lagi selepas dia diletakkan bersama-sama Syahir dalam skuad simpanan yang beraksi dalam Liga A1 Semi Pro.
Pilihan terbaik adalah untuknya mencari mana-mana pasukan secepat mungkin dengan perpindahan secara pinjaman merupakan antara keputusan terbaik untuk diambil. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram