[VIDEO] Bapa ‘Upin Ipin’ nekad tarik diri, pertikai budak semuda 8 tahun terpaksa beraksi bawah panas terik


  • Podium
  • Isnin, 08 Sep 2025

Tangkap layar memaparkan kanak-kanak sedang bermain di bawah terik matahari.

TULAR di media sosial luahan seorang bapa yang kecewa apabila dua anaknya terpaksa bermain bola sepak dalam cuaca panas terik tanpa kemudahan berteduh.

Kejadian itu berlaku ketika perlawanan kejohanan anjuran Malaysia Youth League (Liga X Malaysia) yang berlangsung di sekitar Selangor.

Dalam hantaran yang dimuat naik di Facebook, Ng Chee Kean menegur pihak penganjur kerana menetapkan jadual perlawanan untuk kanak-kanak berusia lapan hingga 10 tahun bermula seawal pukul 12 tengah hari, waktu yang diketahui umum sebagai waktu paling panas. 

BACA LAGI: [VIDEO] 'Nostalgia final 2006', pertembungan legenda Thailand-Malaysia imbau aksi epik, gaya ‘celebration’

BACA LAGI: Cklamovski ada 3 pengganti Faisal Halim, nama-nama 'otai' kembali jadi sebutan

"Saya tak faham kenapa penganjur seperti Malaysia Youth League letakkan jadual perlawanan untuk budak umur 8 hingga 10 tahun pada pukul 12 dan 2 petang. Orang dewasa pula boleh main sebelah petang. Macam menyeksa budak-budak," katanya.

Menurut Chee Kean, anak-anaknya bermain di padang sintetik di bawah cuaca panas dengan tahap sinaran UV yang dikatakan mencecah tahap kritikal 10, sehingga menyebabkan kasut hampir melepuh dan telefon bimbitnya sendiri mengalami gangguan suhu.

"Bermain di padang sintetik, kasut pun macam nak terbakar,UV level tahap 10 kritikal tadi," ujarnya.

Tambahnya lagi, dua anaknya yang dipanggilnya Upin dan Ipin mewakili pasukan yang terpaksa bermain dua perlawanan dengan selang masa menunggu sehingga tiga jam, bermula pukul 11 pagi hingga 3 petang tanpa sebarang kemudahan tempat berteduh untuk keluarga yang hadir memberikan sokongan.

"Team Upin Ipin kena bermain dua perlawanan, dua jam berjemur di bawah matahari panas, game pertama dan kedua selang tiga jam menunggu.

"Di tempat RRI langsung tak ada tempat berteduh untuk ahli keluarga. Tadi nenek Upin Ipin pun kena duduk bawah panas matahari menunggu cucunya bermain, dari pukul 11 sehingga pukul 3 tengah hari," tambahnya,

Susulan insiden tersebut, Chee Kean yang berasal dari Puchong, Selangor, mengambil keputusan untuk menarik anak-anaknya daripada kejohanan tersebut kerana menganggap pihak penganjur tidak mengutamakan keselamatan dan kesihatan peserta muda.

Chee Kean turut mendedahkan bahawa pihak penganjur telah menghubunginya meminta agar hantaran kritikan tersebut diturunkan.

"Malaysia Youth League call dan WhatsApp saya minta turunkan post. Saya kata okay, saya akan tarik anak-anak saya keluar daripada liga mereka," katanya ringkas. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram