
SETIAP kali bulan Ogos menjelma, seluruh rakyat Malaysia pasti mengalihkan tumpuan kepada sambutan Hari Kebangsaan yang diraikan pada 31 Ogos.
Jalur Gemilang berkibar megah di seluruh pelosok negara, manakala pelbagai acara patriotik dianjurkan bagi menyemarakkan semangat cintakan tanah air.
Namun, hakikatnya Ogos bukan sekadar bulan perayaan kebangsaan.
BACA LAGI : 'Darah kita sama je', berkongsi lahir bulan merdeka, 3 figura sukan satukan semua rakyat tak kira darjat
Di sebalik sambutan penuh warna-warni itu, Ogos juga menyimpan catatan sejarah yang melangkaui sekadar simbolik.
Ia menjadi saksi kepada pelbagai peristiwa penting yang membentuk identiti negara serta meninggalkan kesan mendalam dalam perjalanan Malaysia sebagai sebuah bangsa merdeka.
Empat peristiwa besar yang berlaku pada bulan Ogos memperlihatkan kepelbagaian aspek yang membina kekuatan negara daripada kepemimpinan seorang tokoh ulung, pembangunan institusi keagamaan yang ikonik, sehinggalah ke pentas sukan yang mengangkat nama Malaysia di persada antarabangsa.
Mengimbau kembali detik bersejarah ini bukan sekadar mengenang masa lalu, tetapi menjadi peringatan bahawa semangat kebangsaan tidak terhad pada tarikh 31 Ogos sahaja.
Ogos adalah bulan yang mengingatkan kita bahawa perpaduan, keharmonian dan kecintaan terhadap tanah air sentiasa menjadi nadi kepada kelangsungan negara.
Tunku Abdul Rahman dinobat Tokoh Asia (13 Ogos 1960)
Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj diumumkan sebagai pemenang Hadiah Ramon Magsaysay atas kejayaan beliau memimpin rakyat berbilang kaum di Malaysia.
Tanggal 13 Ogos 1960 menjadi tarikh bersejarah apabila Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, diumumkan sebagai penerima Hadiah Ramon Magsaysay, sebuah anugerah berprestij yang sering digelar sebagai Hadiah Nobel Asia.
Penganugerahan itu mengiktiraf jasa besar Tunku dalam memimpin Tanah Melayu menuju kemerdekaan secara aman, selain kebijaksanaannya mengurus negara berbilang kaum dengan penuh diplomasi dan toleransi.
Kejayaan beliau mencapai kemerdekaan melalui meja rundingan dengan British pada 31 Ogos 1957 diiktiraf dunia sebagai satu pencapaian luar biasa.
Anugerah itu sekali gus meletakkan nama Malaysia di peta dunia sebagai sebuah negara muda yang berjaya mengekalkan kestabilan politik dan perpaduan kaum sejak awal penubuhannya.
Pengiktirafan Ramon Magsaysay bukan sahaja mengangkat martabat Tunku sebagai negarawan ulung, malah membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan pemimpin bertaraf dunia.
Lebih enam dekad berlalu, anugerah ini terus menjadi simbol kejayaan Malaysia dalam mengekalkan keharmonian masyarakat majmuk.
Pestabola Merdeka Pertama (31 Ogos – 7 September 1957)
Pestabola Merdeka pernah dianggap sebagai kejohanan bola sepak paling berprestij di Asia dan menjadi titik tolak kebangkitan skuad bola sepak negara di persada antarabangsa.
Bagi pencinta bola sepak pula, bulan Ogos mencatatkan detik penuh bersejarah apabila Pestabola Merdeka buat julung kali dianjurkan pada 31 Ogos hingga 7 September 1957, sempena meraikan hari kemerdekaan Tanah Melayu.
Kejohanan itu pernah mencapai kemasyhuran luar biasa sekitar 1960-an hingga 1980-an sehingga digelar 'Mini Piala Dunia Asia' kerana menjadi medan pertemuan bintang-bintang bola sepak dunia.
Nama-nama legenda antarabangsa seperti Kevin Keegan dari England, Abedi Pele dari Ghana dan Ryan Nelsen dari New Zealand pernah menjejakkan kaki di tanah air, menjadikan Pestabola Merdeka kebanggaan rakyat Malaysia.
Selain mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa, Pestabola Merdeka turut menjadi pemangkin kepada perkembangan bola sepak negara.
Kejohanan tersebut melahirkan ramai pemain handalan tempatan yang menjadi ikon sukan negara seperti Mokhtar Dahari, R. Arumugam dan Soh Chin Aun.
Skuad kebangsaan Malaysia pula pernah mencatat sejarah gemilang apabila menjulang trofi kejuaraan sebanyak 10 kali sejak 1958, muncul naib juara tujuh kali, dan berkongsi kejuaraan dengan Korea Selatan pada 1960 dan 1979.
Perasmian Masjid Negara (27 Ogos 1965)
Masjid Negara yang terletak di tengah ibu kota dibina sebagai simbol perpaduan dan keharmonian umat Islam di negara ini.
Empat tahun selepas pengisytiharan kemerdekaan, Malaysia sekali lagi melakar sejarah apabila Masjid Negara dirasmikan pada 27 Ogos 1965 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-3, Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail.
Upacara perasmian tersebut menjadi simbol bahawa Malaysia bukan sahaja membina negara yang merdeka dan moden, tetapi juga menjadikan Islam sebagai tunjang dalam pembentukan identiti bangsa.
Keputusan mendirikan masjid ini dicetuskan oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, sebagai penghargaan kepada nikmat kemerdekaan dan keamanan yang dikecapi rakyat.
Tunku, dengan kebijaksanaan dan pandangan jauhnya, menolak cadangan menamakan masjid itu sempena namanya sendiri, sebaliknya memilih nama Masjid Negara bagi melambangkan ia milik seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.
Kubah utamanya berbentuk bintang 18 bucu melambangkan 13 negeri di Malaysia dan lima rukun Islam, manakala menaranya menjulang setinggi 73 meter menjadi mercu tanda keagungan agama Islam di tengah bandar raya Kuala Lumpur.
Pada ketika siap dibina, Masjid Negara dianggap antara masjid terbesar dan tercanggih di Asia Tenggara, menjadi bukti kemampuan Malaysia sebagai negara muda yang sedang membangun.
ITM jadi UiTM (26 Ogos 1999)
Tanggal 26 Ogos 1999 pula menyaksikan satu lagi detik bersejarah apabila Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pertukaran nama Institut Teknologi MARA (ITM) kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Langkah ini menjadi simbol keberhasilan dasar pendidikan negara yang memberi tumpuan kepada memperkasa golongan bumiputera agar berdaya saing di peringkat global.
UiTM bukan sahaja menjadi platform melahirkan tenaga profesional Melayu dan bumiputera dalam pelbagai bidang kritikal seperti kejuruteraan, perubatan, sains, teknologi dan perniagaan, malah turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dengan melahirkan graduan yang berkemahiran tinggi serta berdaya saing di pasaran kerja antarabangsa.
Kini, UiTM berkembang pesat dengan lebih 30 cawangan di seluruh negara, menawarkan ratusan program akademik daripada peringkat asasi sehingga ke peringkat doktor falsafah.
Pertukaran nama itu juga mencerminkan visi kepimpinan negara yang mahu melihat UiTM sebagai sebuah universiti berkelas dunia, seiring dengan matlamat Wawasan 2020 ketika itu.
Ogos bukan setakat bulan Kebangsaan tetapi identiti Malaysia
Empat peristiwa bersejarah ini membuktikan bahawa Ogos bukan sekadar bulan untuk mengibarkan Jalur Gemilang, sebaliknya bulan yang mengangkat identiti Malaysia dalam pelbagai aspek kepemimpinan, keagamaan dan sukan.
Ogos adalah saksi kepada perjalanan panjang sebuah negara bangsa yang terus berdiri teguh atas dasar perpaduan, keharmonian dan semangat cintakan tanah air.
Setiap helaian sejarah yang tercatat, Ogos mengingatkan kita bahawa kemerdekaan bukan sekadar diwarisi, tetapi harus terus dipertahankan demi generasi mendatang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram