
ACARA gusti profesional di Los Angeles bertukar kecoh apabila anak kepada bekas juara UFC Light Heavyweight Quinton Rampage Jackson, Raja Jackson bertindak menyerang seorang penggusti dalam satu acara bebas pada Sabtu.
Dalam rakaman yang disiarkan secara langsung dan kemudiannya dimuat naik ke YouTube, Raja Jackson, 25, dilihat melompat masuk ke gelanggang ketika acara KnokX Pro Entertainment & Academy dan menyerang penggusti Stuart Smith atau nama pentasnya Syko Stu.
Jackson mengangkat Smith ke atas sebelum menjatuhkannya ke lantai dan menumbuknya sekurang-kurangnya 20 kali.
BACA LAGI: Siasatan dalaman telah dimulakan, Sabah ambil serius isu coach futsal ditumbuk staf sendiri
BACA LAGI: Tonggak TRW kongsi sebab pilih Kelantan, puas hati ikat Sabah di Likas
Beberapa individu kemudian bertindak masuk untuk meleraikan pergaduhan dan menarik Jackson keluar dari gelanggang.
Smith yang berusia 44 tahun dilaporkan mengalami kecederaan namun berada dalam keadaan sedar dan stabil.
Menurut polis Los Angeles, satu siasatan telah dibuka berhubung insiden tersebut namun tiada kenyataan lanjut diberikan.
Difahamkan, pergaduhan itu berpunca daripada kejadian sebelum perlawanan, yang mana Smith memecahkan tin bir di atas kepala Raja Jackson.
Jackson kemudiannya diberitahu bahawa dia boleh membalas tindakan itu di atas gelanggang sebagai sebahagian daripada pertunjukan acara tersebut.
Namun, serangan yang dilakukan Raja Jackson tidak mengikut skrip dan bertukar menjadi tindakan ganas yang tidak dijangka.
Bapanya, Quinton Jackson dalam satu kenyataan di media sosial berkata, dia menyangka ia hanyalah sebahagian daripada pertunjukan, namun mengakui ia adalah satu kesilapan besar.
“Saya langsung tidak menyokong tindakan anak saya. Sebagai petarung MMA, dia tidak sepatutnya terlibat dalam acara gusti profesional,” katanya.
Beliau turut memohon maaf bagi pihak anaknya dan mendedahkan bahawa Raja mengalami gegaran otak beberapa hari sebelum kejadian.
Penganjur acara, KnokX Pro Entertainment & Academy turut mengecam insiden tersebut dan menyifatkannya sebagai tindakan ganas yang tidak bertanggungjawab.
“Apa yang sepatutnya menjadi aksi yang dirancang telah bertukar menjadi satu serangan tidak wajar ke atas Smith. Ia sangat dikesali dan tidak sepatutnya berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.
Smith, seorang bekas tentera yang menyertai KnokX sejak 2009, sebelum ini berkata, bahawa gusti banyak membantunya mengatasi gangguan tekanan pasca trauma (PTSD).
Wakil Smith masih belum memberikan sebarang kenyataan lanjut berhubung insiden tersebut.
Walaupun Smith sudah beberapa kali memohon maaf kepada Jackson dan menyatakan bahawa dia menyangka Jackson adalah sebahagian daripada pelakon gusti, Jackson tetap meneruskan serangannya.
Dalam rakaman langsung sebelum kejadian, Jackson dilihat memberi amaran bahawa tindakannya tidak akan mengikut skrip.
“Mereka suruh saya pukul dia dan terus keluar...tapi saya akan pukul sebanyak mana saya boleh. Tengok saja nanti,” katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram