KALI terakhir penyokong bola sepak tanah air mendengar khabar mengenai penyerang sayap, Kogileswaran Raj adalah apabila difahamkan pihak kelab Chunbuk Cheongju FC tidak memberikannya minit permainan.
Pengurus Chungbuk Cheongju, Choi Yoon-gyeom berkongsi bahawa walaupun pemain kelahiran Kuala Lumpur itu sudah berjaya menurunkan berat badan namun Kogileswaran masih bergelut untuk beraksi dalam tempo lebih tinggi.
Kenyataan dari Yoon-gyeom pada Mei lalu itu cukup menjelaskan keadaan mengapa pemain yang mesra dengan sapaan Kogi itu hanya tampil dalam satu perlawanan bersama pasukan divisyen dua Korea Selatan tersebut.
Pemain berusia 24 tahun itu hanya diturunkan menjadi kesebelasan utama ketika penampilan sulung bagi aksi Piala FA Korea pada Mac lalu dan membantu pasukannya merekodkan kemenangan 3-0 ke atas Seoul Jungnang FC.
Selepas itu, pemain berusia 24 tahun itu terus tenggelam apabila terlibat dalam hari perlawanan, bahkan namanya juga tidak tersenarai berada di bangku simpanan Chunbuk Cheongju FC.
Sebelum sertai pasukan Korea Selatan itu, Kogi merupakan tonggak utama PJ City. — Instagram/Kogi
Situasi yang menyaksikan Kogi disisihkan sendiri oleh pasukannya membuatkan sebuah pasukan dari Pantai Timur tanah air mengambil peluang untuk mendapatkan khidmat bekas pemain Petaling Jaya (PJ) City FC itu.
Tidak pasti sama ada Kelantan FC, Kelantan United FC (KUFC), Sri Pahang FC ataupun Terengganu FC (TFC), namun kehadiran Kogi dalam pasukan tersebut pasti akan menambah sengat di bahagian serangan.
Dalam kalangan pasukan Pantai Timur itu, skuad Penyu difahamkan merupakan kelab yang sedang berusaha memburu Kogi dan ingin mendapatkan kepakarannya pada jendela perpindahan kedua ini.
Perkara itu dapat dilihat apabila sebelum ini, pemerhati bola sepak, Piang Shankly pernah menyatakan bahawa bekas tonggak Tok Gajah itu akan menyarung jersi TFC di pusingan kedua liga ini.
Individu tersebut merupakan antara yang terawal mengaitkan bekas tonggak Selangor FC, Norhakim Hassan dengan pasukan Terengganu.
Sejauh manakah kebenaran mengenai Kogi akan meninggalkan Chunbuk Cheongju FC dan sertai pasukan Pantai Timur, pastinya ramai penyokong menunggu kemunculan semula Kogi di kancah domestik.
Untuk rekod, kali terakhir pemain kebangsaan itu beraksi di Liga Malaysia ketika bersama skuad The Phoenix yang mana pada musim 2022 Kogi diturunkan sebanyak 19 kali dalam aksi Liga Super. dan merekodkan dua jaringan gol. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram