[VIDEO] Teruja skor lawan Tajikistan, ‘ubi muda’ Indonesia jatuh parit ketika raikan gol


  • Podium
  • Rabu, 13 Ogos 2025

Tangkap layar Mochammad Mierza terjatuh ke dalam parit stadium.

PENYERANG muda Indonesia Bawah 17 tahun (B-17), Mochammad Mierza Firjatullah mencuri  tumpuan bukan sahaja kerana menjaringkan gol pertama pasukannya, malah akibat insiden terjatuh ke zon penampan stadium ketika raikan jaringan dalam aksi Piala Kemerdekaan 2025 menentang Tajikistan B-17.

Gol itu terhasil pada minit ke-34 selepas Mochammad Mierza yang tidak dikawal di dalam kotak penalti lawan, menyambut hantaran lintang Fadly Alberto dengan tandukan terus ke gawang Tajikistan B-17.

Selepas melepasi beberapa rintangan, Mochammad Mierza berlari ke arah penyokong di tribun selatan Stadium Sumatera Utara, Deli Serdang pada petang Selasa (12 Ogos 2025) untuk meraikan jaringannya.

BACA LAGI: Sabah FC kongsi ‘template’ jersi bersama kelab gergasi Thailand, tarik perhatian ekor Garuda

BACA LAGI: Enggan dilabel pelengkap jadual, Imigresen FC contohi 'bulat-bulat' DNA Perak FC ketika 3 tahun lepas

Pada mulanya, Mochammad Mierza melompat ke atas papan iklan sebelum cuba memanjat pagar tetapi penyerang Persik Kediri berkenaan tiba-tiba hilang dari pandangan rakan sepasukannya dan penyokong. 

Beberapa rakan sepasukan B-17 Indonesia segera mencarinya, tetapi gerak isyarat Zahaby Gholy dan Eizar Jacob menunjukkan kekeliruan sambil memegang pagar dan memandang ke sekeliling serta ke bawah.

Rupa-rupanya, pemain berusia 16 tahun berkenaan terjatuh kerana tidak menyedari terdapat jurang di antara pagar dan tempat berdiri yang dilitupi sepanduk kejohanan Piala Kemerdekaan 2025. 

Daripada rakaman penonton, video tular berkenaan menyaksikan jurang tersebut merupakan zon penampan atau parit sempadan yang agak dalam dengan ramai mengkhuariti keadaan Mochammad Mierza. 

Mujurlah, penyerang kelahiran Bandung, Jawa Barat tersebut tidak mengalami kecederaan dan segera kembali ke padang selepas meraikan golnya. Perkembangan terkini juga mengesahkan  Mochammad Mierza tidak mengalami kecederaan serius. 

Walaupun terselamat dalam insiden parit itu, Mochammad Mierza tidak dapat menamatkan perlawanan apabila dia dikeluarkan pada separuh masa kedua kerana kecederaan ringan dan mungkin juga disebabkan keletihan.

Selain Mochammad Mierza, gol Fadly Alberto pada minit ke-50 membantu Indonesia mencatat keputusan seri 2-2 menentang pasukan pelawat yang dijaringkan oleh Zarif Zarifzoda dan  Ashuralizoda Nazrullo. — Agensi 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram