
APABILA pemain bola sepak Malaysia, V. Annil melangkah masuk ke padang latihan Nakhon Si United buat pertama kali, ia bukan sekadar kelab baharu yang disertainya tetapi merupakan fasa seterusnya dalam perjalanan karier bola sepaknya.
Pemain berusia 21 tahun dari Kajang, Selangor itu sudah pun merasai pengalaman bermain jauh dari tanah air selepas beberapa tahun beraksi di Jerman bersama Freiburger II dan kemudian Waldhof Mannheim.
Namun, perpindahan terbarunya ke Liga Dua Thailand berkenaan lebih daripada sekadar satu lagi perpindahan kelab dengan ia adalah tentang mencabar dirinya melangkaui zon selesa.
BACA LAGI: Makin dalami dunia bola sepak lokal, Cklamovski hantar anak sertai skuad belia kelab Lembah Klang
"Saya sentiasa suka keluar daripada zon selesa dan cuba belajar sesuatu yang baharu.
"Thailand sudah lama menjadi nama besar di Asia Tenggara, jadi saya rasa bermain di sini pasti akan membantu saya untuk bertambah baik dan berkembang," kata Annil.
Dengan ketinggian 1.86 meter dan penampilan yang mantap, Annil mampu beraksi sama ada sebagai pertahanan tengah mahupun pemain tengah bertahan.
Dia sudah empat kali mewakili skuad Bawah-23 (B-23) Malaysia, namun kini menumpukan sepenuh perhatian untuk menambah jumlah penampilan dan mungkin meraih tempat tetap dalam skuad bagi kejohanan akan datang.
"Matlamat saya juga adalah untuk dipanggil menyertai skuad Bawah-23 kebangsaan.
"Saya percaya saya berada pada tahap mental dan fizikal yang sesuai untuk memberikan sesuatu kepada pasukan tetapi saya perlu membuktikan kemampuan saya dalam liga Thailand terlebih dahulu," tambahnya.
Keputusan untuk berpindah dibuat selepas menimbang beberapa pilihan dengan sebelum ini, terdapat perbincangan dengan kelab di tanah air, malah dia turut menjalani latihan singkat di Brunei.
Namun, peluang menyertai Nakhon Si United yang menamatkan saingan di tempat kesembilan daripada 18 pasukan musim lalu terlalu menarik untuk dilepaskan oleh pemain berkenaan.
"Ia peluang hebat untuk bermain di Liga Dua Thailand yang kompetitif ini. Saya sudah menerima tawaran secara lisan dari Thailand sejak sekian lama, dan saya rasa ini masa yang sesuai untuk bermain dalam pasukan utama dan mendapatkan minit permainan sebanyak mungkin.
"Nakhon Si mempunyai visi yang hebat dan barisan jurulatih yang sangat taktikal," jelasnya.
Annil beraksi sebagai pemain Waldhoff Manheim pada musim 2023. — Instagram/Annil
Pasukan itu kini dikendalikan jurulatih sementara sementara menunggu ketibaan jurulatih baharu dari Eropah, namun Annil sudah pun berbincang dengan kedua-duanya mengenai peranannya.
"Dia mahu melihat saya berkembang sebagai pertahanan tengah dan memanfaatkan kekuatan saya seperti fizikal dan ketinggian, serta beraksi dengan baik dalam formasi taktikalnya," tambahnya.
Selepas bertahun-tahun di Eropah, Annil percaya pemahaman taktikal dan kebolehannya menyesuaikan diri akan menjadi aset penting di Thailand, tetapi perpindahan itu juga adalah tentang mencari semula dirinya dalam persekitaran baharu.
“Saya rasa bersedia untuk memulakan karier di Asia sekarang. Selepas bertahun-tahun di Eropah, saya telah belajar banyak perkara dari segi taktikal di padang.
“Sekarang saya mahu menunjukkan apa yang telah saya pelajari, mencabar diri di liga berbeza, dan terus meningkatkan prestasi," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram