Zulaikah Nasser antara 3 bintang wanita Malaysia di posisi terbaik layak ke Kejohanan Maybank 2025


  • Podium
  • Selasa, 12 Ogos 2025

Zulaikah Nasser kini berada di posisi kedua pada hari pertama pusingan kelayakan Kejohanan Maybank 2025.

HARI pertama pusingan kelayakan Asean Kejohanan Maybank 2025 dihiasi momen-momen menarik termasuk pukulan hole-in-one yang dijelmakan pendahulu carta, Kritchanya Kaopattanasku dari Thailand.

Untuk rekod, ini merupakan pukulan hole-in-one pertama yang diraih oleh pemain berusia 17 tahun itu sepanjang kariernya.

Saingan hari pada Selasa di Kuala Lumpur Golf & Country Club menyaksikan Kritchanya mendahului dengan lima pukulan di bawah par (67), mengatasi pencabar terdekat dari Malaysia, Zulaikah Nasser and dan seorang lagi bintang amatur Thailand, Achiraya Sriwong yang membuat 72 pukulan.

BACA LAGI: Dua wakil negara, pemenang emas Olimpik antara 78 peserta berentap Kejohanan Golf Maybank 2024

BACA LAGI: Villea Rompin, 'hidden gem' buat peminat sukan golf, pencinta ketenangan

Dua lagi bakat muda Malaysia Genevieve Ling dan Aretha Pan terikat kedudukan di tempat keempat bersama dua pemain Thailand Namo Luangnitikul dan Chakansim Khamborn yang meraih 73 pukulan.

Berbaki lagi satu pusingan pada Rabu, seramai 69 pemain dari rantau Asia Tenggara pastinya mahu meningkatkan tahap permainan bagi memburu slot ke Kejohanan Maybank 2025 di bawah kalendar Jelajah LPGA pada 30 Oktober hingga 2 November depan.

Mengulas tentang tahap permainan pada hari pertama pusingan kelayakan, Kritchanya berkata, dia amat gembira dengan keputusan yang diperoleh setakat ini tetapi terkejut dengan pukulan hole-in-one yang dicatat olehnya pada par 3 lubang keempat.

"Saya tidak tahu ke mana bola saya pergi kerana Par 3 itu adalah lubang terlindung. Saya mencari bola kemudian kawan kedi saya bagitahu pukulan itu adalah hole-in-one.

Kritchanya mencatat pukulan hole-in-one pertama dalam kariernya.

"Saya amat teruja dengan peluang untuk bermain di Kejohanan Maybank ini tetapi saya perlu bertenang dan ikut pelan saya.

"Saya pernah main di kejohanan profesional di Thailand sebelum ini tetapi ini merupakan peluang pertama yang bermain di LPGA," katanya.

Di posisi kedua, Zulaikah memiliki peluang terbaik untuk mengisi empat lagi slot seandainya Kritchanya bergelar juara pada sesi pusingan kelayakan itu.

Bagi pemain berusia 23 tahun itu, permainannya agak bagus walaupun ada masa turun dan naik.

"Saya bermula baik dari lapan lubang pertama tetapi mendapat bogey pada lubang kesembilan dan ke-10.

"Tetapi saya bangkit untuk menamatkan pusingan hari ini (Selasa) dengan birdie. Saya harap esok dapat lakukan yang lebih baik," katanya.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram