'Sumpahan Cheras' hantui Sang Badak 3 kali berturut-turut, harapan tipis Stano mulakan kempen dengan langkah kanan


  • Podium
  • Rabu, 13 Ogos 2025

Tiga gol dilepaskan skuad Sang Badak dalam kunjungan terakhir Liga Super ke Stadium Cheras. — Facebook/Sabah FC

KEMERIAHAN kurang dirasakan dalam kalangan peminat Sabah FC menjelang musim baharu kerana rata-rata penyokong enggan meletakkan harapan terlalu tinggi terhadap pasukan kegemaran mereka itu.

Ini kerana skuad Sang Badak tidak melakukan rombakan besar terhadap pasukan pada jendela perpindahan lalu dengan hanya empat rekrut baharu diperkenalkan sementara nama-nama musim lalu dikekalkan.

Selain itu, kemeriahan peminat terjejas selepas kelab Borneo tanah air itu tidak begitu menyerlah sepanjang tempoh pramusim, termasuk mengalami kekalahan memalukan di tangan kelab Thailand, Buriram United.

BACA LAGI: Sabah FC kongsi ‘template’ jersi bersama kelab gergasi Thailand, tarik perhatian ekor Garuda

BACA LAGI: Enggan dilabel pelengkap jadual, Imigresen FC contohi 'bulat-bulat' DNA Perak FC ketika 3 tahun lepas

Aksi pembukaan skuad Sang Badak yang sepatutnya berlangsung pada Ahad lalu ditunda ke tarikh baharu.  Facebook/Sabah FC

Tidak terhenti di situ, isu jadual merencatkan harapan penyokong berikutan aksi yang sepatutnya berlangsung pada Ahad lalu menentang Melaka FC terpaksa ditunda kerana Stadium Likas, Sabah digunakan.

Perubahan tarikh perlawanan itu menandakan skuad Sang Badak akan memulakan kempen kali ini dengan aksi berdepan Kuala Lumpur (KL) City FC di tempat lawan pada Rabu.

Pertembungan tersebut sememangnya sukar kerana kelab Lembah Klang itu membuka tirai Liga Super 2025/26 menerusi kemenangan besar 3-0 ke atas Imigresen FC di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.

Keputusan dicatatkan pada Sabtu itu sememangnya memberi tekanan hebat buat Sabah FC yang perlu mengawasi setiap helah dan strategi bakal diguna pakai.

Kekalahan 0-2 dialami skuad Sang Badak ketika berkunjung ke stadium di ibu kota itu pada 2023.  Facebook/Sabah FC

Malah, perlawanan tersebut menyajikan ujian tersendiri buat skuad Sang Badak kerana rekod lalu menyaksikan mereka bergelut dalam tiga kunjungan berturut-turut ke Stadium Cheras, KL.

Ia dimulakan dengan kunjungan pada saingan Liga Super 2022 apabila mereka yang berada di bawah Datuk Ong Kim Swee ditundukkan KL City FC di stadium berkenaan menerusi keputusan 0-2.

Dua gol daripada Romel Morales memberi mata penuh buat skuad Warga Kota meskipun Sabah FC sebelum itu mencatatkan empat kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan.

Pada musim berikutnya pula, keputusan sedemikian berulang apabila mereka yang hadir sebagai pasukan pelawat dikecewakan dengan kali ini T Saravanan dan Sean Gianelli berada dalam senarai penjaring.

Kekalahan tersebut sememangnya mengecewakan Kim Swee dan anak-anak buahnya yang sebelum itu terpaksa pulang dengan tangan kosong setelah ditundukkan Johor Darul Ta'zim (JDT) di tempat lawan.

Skuad Sang Badak dikecewakan KL City FC di Stadium Cheras pada kempen Liga Super 2022.  Facebook/Sabah FC

Situasi berbeza diharapkan bagi saingan Liga Super 2024/25, tetapi kekalahan lebih teruk pula dialami Sabah FC selepas KL City FC mudah menjaringkan tiga gol tanpa balas ketika menerima kunjungan mereka.

Perlawanan itu menyaksikan Rawilson Batuil dilayangkan kad merah sebelum Paulo Josue dan Zhafri Yahya masing-masing mencetak jaringan sementara satu lagi gol terhasil menerusi gol sendiri Ko Kwang-min.

Bagaimanapun, penantian Sabah FC untuk melakar kemenangan di stadium tersebut berakhir dalam dua perlawanan menentang PT Athletic FC di pusingan 16 pasukan Piala Malaysia.

Meskipun lawan dihadapi adalah berbeza, keputusan itu sudah tentu menyuntik sedikit semangat buat peminat Sabah FC yang mahu melihat tiga mata pertama diraih pasukan.

Harapan itu sememangnya berat untuk dicapai, namun anak-anak buah Martin Stano perlu memberikan persembahan terbaik untuk memulakan kempen kali ini dengan langkah kanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram