Kes abai bayi di taska Iskandar Puteri diklasifikasi NFA, tiada keterangan kukuh untuk mendakwa mana-mana pihak — Polis


  • Kes
  • Rabu, 06 Ogos 2025

Bayi 14 bulan dikesan mengalami kecederaan lebam dan kemerahan selepas dijemput dari pusat jagaan di Iskandar Puteri. — Gambar hiasan

DAKWAAN pengabaian seorang kanak-kanak di sebuah pusat jagaan di Iskandar Puteri, Johor diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) selepas siasatan polis mendapati tiada keterangan kukuh untuk mendakwa mana-mana pihak terlibat.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, laporan polis berhubung kejadian tersebut diterima pada 19 Januari lalu daripada seorang wanita tempatan berusia 27 tahun, yang merupakan ibu kepada kanak-kanak lelaki berumur sekitar setahun.

Menurutnya, siasatan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi aspek pengabaian kanak-kanak di bawah jagaan taska terletak di kawasan Iskandar Puteri.

BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki menggigil dalam LRT, dakwa diugut gara-gara tuntutan insurans

BACA LAGI: [VIDEO] 'Saya ingat awak', 16 tahun sudah berlalu, legenda Man United masih dihantui jaringan padu Amri Yahyah

"Hasil siasatan telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Johor dan menerima arahan bahawa kes diklasifikasikan sebagai NFA.

"Arahan diterima bahawa kes ini adalah NFA kerana tiada keterangan kukuh untuk mengaitkan mana-mana pihak," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, kes tersebut tular di media sosial selepas wanita berkenaan, Syaza Syamimi Ahmad Sufian berkongsi kebimbangannya terhadap kecederaan yang dialami bayinya, Syakir Ali Syakir Mohamad Syazwin, yang berusia 14 bulan dalam kejadian yang berlaku awal tahun ini.

Menurutnya dalam hantaran di Facebook, dia dan suami menyedari terdapat kesan lebam panjang dan kemerahan pada belakang badan anak mereka sebaik selesai memandikan bayi itu sejurus menjemputnya pulang dari pusat jagaan pada 17 Januari lalu.

Susulan kejadian, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Sentral Johor Bahru sebelum kes tersebut dipindahkan ke Balai Polis Iskandar Puteri untuk tindakan lanjut.

Namun, menurutnya lagi, mereka kemudian dimaklumkan bahawa kes berkenaan ditutup kerana tiada saksi, tiada elemen kesalahan jenayah serta tiada keterangan kukuh yang boleh menyokong pertuduhan terhadap mana-mana pihak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram