Dion Cools tak panik, terima keputusan FAM tarik diri Piala CAFA


  • Podium
  • Selasa, 22 Jul 2025

Adidas Malaysia dengan kerjasama bek pertahanan skuad kebangsaan, Cools telah melancarkan jersi edisi terhad yang menggabungkan budaya, identiti dan prestasi.

PEMAIN pertahanan Harimau Malaya, Dion Cools kekal tenang dan yakin terhadap perancangan skuad kebangsaan meskipun mereka baru-baru ini menarik diri daripada kejohanan Piala Negara-Negara Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA).

Cools menekankan bahawa meskipun keputusan penting dibuat di peringkat pengurusan, pemain sepenuhnya mempercayai hala tuju yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sambil menegaskan bahawa fokus kini terarah kepada misi layak ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi.

"Saya tak boleh jawab soalan ini kerana saya sendiri tiada kuasa dalam hal itu. Tapi saya yakin barisan pengurusan akan buat keputusan yang tepat. Kami semua perlu terus percaya dan tidak panik," katanya.

BACA LAGI: Lagu 'Dia milik orang' berkumandang, 3 kelab kempunan sambar bintang sasaran termasuk Luqman Hakim-Ibrahim Manusi

BACA LAGI: Ada yang lebih penting berbanding Piala Negara CAFA — Peter Cklamovski

Cools berkata sedemikian ketika ditemui media dalam majlis pelancaran jersi edisi terhad Dion Cools dengan kerjasama Adidas yang berlangsung di Adidas Brand Centre, Sunway Pyramid, Subang Jaya, Selangor pada Selasa.

Ketika ditanya mengenai isu penarikan diri Piala CAFA dan keperluan mencari sekurang-kurangnya dua pasukan untuk aksi persahabatan, Cools enggan mengulas lanjut tetapi menyuarakan keyakinan penuh terhadap keputusan pihak pengurusan.

"Saya rasa keseluruhan pasukan tahu apa yang mereka sedang lakukan. Fokus utama kami sekarang adalah kelayakan Piala Asia. September nanti, kami perlu bersatu dan bersedia sepenuhnya untuk dua perlawanan penting pada Oktober. Kami mahu layak ke Arab Saudi, dan buat masa ini, kami berada di landasan yang betul," tambahnya.

Jersi edisi terhad yang menggabungkan budaya, identiti dan prestasi sebagai penghormatan kepada perjalanan luar biasa Dion Cools dalam dunia bola sepak.

Mengulas mengenai prestasi semasa skuad Harimau Malaya, bintang Cerezo Osaka itu menyifatkan perlawanan menentang Vietnam baru-baru ini sebagai satu pengalaman yang luar biasa, memuji suasana di stadium serta semangat juang rakan sepasukan.

"Penyokong mereka sangat bersemangat dan suasana cukup hebat. Kami bermain dengan baik, dan saya harap akan ada lebih banyak malam seperti itu. Kami sedang melakukan kerja yang sangat baik ketika ini.

"Saya percaya pada pasukan ini. Kami semua sedang bekerja keras untuk capai sesuatu yang hebat buat negara dan peminat. Teruskan beri sokongan, kami akan cuba sedaya upaya untuk berikan yang terbaik buat Malaysia,” ujarnya.

Terdahulu, Adidas Malaysia dengan kerjasama bek pertahanan skuad kebangsaan, Cools telah melancarkan jersi edisi terhad yang menggabungkan budaya, identiti dan prestasi sebagai penghormatan kepada perjalanan luar biasa bek tersebut dalam dunia bola sepak.

Jersi tersebut diinspirasikan daripada asal usul Cools yang dilahirkan di Kuching, Sarawak dan dibesarkan di Belgium sekali gus menggambarkan kebanggaan beliau mewakili Malaysia, walaupun layak bermain untuk negara lain.

Direka khas bersama Cools yang kini beraksi di kelab Jepun, Cerezo Osaka, jersi berkenaan menampilkan corak warisan budaya dan elemen moden yang menggambarkan semangat juang, kepimpinan dan keaslian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram