
SIAPA sangka daripada kejayaan meraih pingat emas tenis di Sukan Malaysia (Sukma), seorang anak muda dari Bintulu, Sarawak kini muncul sebagai juara dunia dalam pickleball.
Jimmy Liong yang mewakili pasukan tenis kontinjen Sarawak merupakan penyumbang pingat emas dalam kategori beregu berpasukan untuk temasya Sukma ke-20 di Kuala Lumpur pada 2022.
Bersama gandingannya iaitu Muhd Aiman Hamdan, Jimmy berjaya mengatasi pencabar dari Selangor yang juga pasangan pilihan, Muhd Syabil dan Muhd Nur Iman dengan kemenangan bergaya 6-2, 6-4.
BACA LAGI: Pickleball bakal debut di Sukma Selangor?
BACA LAGI: [VIDEO] Minta maaf peminat futsal, venue tukar jadi court pickleball dianggap wajar
Selepas kemenangan itu, atlet berusia 23 tahun berkenaan secara perlahan-lahan menjinakkan diri dalam pickleball dan siapa sangka, Jimmy menunjukkan kecemerlangan sehingga Kejohanan Dunia Pickleball di Bali, Indonesia pada 2024.
Di sebalik kemenangan menumbangkan pemain Filipina iaitu Davis Alano, 21-15 untuk bergelar juara, Jimmy secara jujur mengakui dirinya masih belum benar-benar mahir dalam sukan yang kini menjadi kerjayanya sepenuh masa.
"Banyak orang kata ia mudah jika ada pengalaman bermain tenis. Tetapi saya tidak fikir ia sesuatu yang mudah. Maksud saya, ia membantu saya untuk memahami dengan lebih cepat tetapi ia tidak semudah yang disangka.
"Betul, saya memenangi pertandingan, tetapi saya belum lagi berada tahap terbaik untuk sukan ini. Saya percaya di setiap sukan, ada ruang untuk peningkatan. Tidak ada orang yang sempurna," katanya kepada Majoriti.
Aiman (kiri) dan Jimmy meraikan kemenangan selepas menewaskan beregu Selangor pada perlawanan akhir tenis beregu lelaki pada Sukma 2022.
Bagi Jimmy, kelebihan bermain tenis hanya membantu sedikit dari segi pemahaman asas, namun untuk benar-benar menguasai pickleball memerlukan latihan dan perubahan dari segi teknik serta mentaliti.
"Saya pun memerlukan masa yang lama untuk memehami permainan ini. Selepas bertahun bermain pickleball, saya belum boleh cakap yang saya mahir dalam sukan ini.
"Kalau ia semudah itu, tiada siapa yang akan kalah. Saya sendiri masih belum rasa saya mahir, walaupun sudah memenangi kejohanan dunia. Saya percaya, setiap sukan sentiasa ada ruang untuk peningkatan," katanya merendah diri.
Selain bergelar pemain profesional dalam pickleball, Jimmy juga merupakan pengasas kepada Akademi Infinity Sports iaitu akademi untuk membantu pemain mempelajari sukan berkenaan.
Jimmy juara dunia Kejohanan Dunia Pickleball di Bali, Indonesia pada 2024.
Jimmy berkongsi, akademi itu bukan sahaja melatih pemain senior tetapi juga memberi fokus kepada pembangunan pemain junior sebagai pelaburan untuk masa depan sukan tersebut di Malaysia.
“Saya mahu bantu Malaysia maju dalam pickleball. Saya fokus pada pembangunan pemain muda, kerana saya percaya sukan ini akan masuk ke temasya besar seperti Sukan Asia dan mungkin satu hari nanti ke Olimpik,” katanya penuh harapan.
Dia juga melihat potensi pickleball sebagai laluan pendidikan untuk anak-anak muda, sama seperti sukan tenis atau renang yang membuka pintu ke sekolah-sekolah sukan di luar negara, terutamanya di Amerika Syarikat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram