
SUKAN pickleball berkemungkinan besar bakal diperkenalkan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2026 yang akan dianjurkan oleh Selangor, namun keputusan muktamad masih tertakluk kepada perbincangan dan persetujuan semua negeri.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, meskipun Selangor telah menyatakan hasrat untuk menjadikan pickleball sebagai salah satu acara di Sukma edisi akan datang, ia perlu melalui proses kelulusan rasmi melibatkan perbincangan bersama semua Exco Sukan negeri terlebih dahulu.
BACA LAGI: [VIDEO] Minta maaf peminat futsal, venue tukar jadi court pickleball dianggap wajar
BACA LAGI: Sukar nak ukur pickleball sukan no.1, Adam Adli harap Malaysia lahirkan bintang seperti Nicol David
“Pickleball mungkin akan dikenalkan di Sukma dan mungkin juga jadi satu program rasmi yang akan dilaksanakan. Saya tahu Selangor sudah nyatakan hasrat mereka tetapi untuk menjadikan sesuatu sukan itu sebagai acara pertandingan, perlu ada persetujuan dari semua negeri.
“Ini akan dibincangkan dalam satu mesyuarat khas dan bukan hanya setakat kita nak jadikan ia sebagai sukan demonstrasi. Kita mahu pastikan ada penyelarasan dan kesepakatan antara semua negeri,” katanya.
Hannah ketika ditemui selepas acara Asia Pickleball Summit 2025 (APS25) di sebuah hotel dekat Petaling Jaya, Selangor pada Khamis yang menyaksikan persatuan pickleball di rantau ini berkumpul.
Hannah (tiga dari kiri) ketika APS25) di sebuah hotel dekat Petaling Jaya, Selangor pada Khamis.
Beliau menjelaskan bahawa antara syarat utama untuk mana-mana sukan dipertandingkan di Sukma adalah perlu sekurang-kurangnya disertai oleh enam negeri.
"Setakat ini, belum ada perkembangan lanjut mengenai undian untuk sukan-sukan yang akan dipertandingkan. Senarai sukan pun belum dibincangkan. Kita masih tunggu mesyuarat bersama semua Exco Sukan negeri.
"Cuma Selangor sudah maklumkan kepada kita tentang venue-venue yang mereka sediakan sebagai tuan rumah dan saya tahu mereka sedang giat buat persiapan. Akan (tarikh mesyuarat) berlaku dalam masa terdekat, tetapi tarikh rasmi masih belum ditetapkan," ujarnya.
Sukma Selangor dijadual berlangsung pada 2026 dan jika pickleball tersenarai secara rasmi, ia akan menjadi salah satu sukan baharu dalam sejarah temasya dwitahunan berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram