[VIDEO] Lamine Yamal tak buat apa-apa salah, golongan kerdil pertahan bintang Barcelona lepas dituduh diskriminasi


  • Podium
  • Jumaat, 18 Jul 2025

Yamal meraikan ulang tahunnya pada 12 Julai dengan majlis tertutup di sebuah restoran, diikuti dengan parti besar di lokasi lain yang dihadiri lebih 200 tetamu.

SEORANG penghibur kerdil yang turut serta dalam majlis sambutan ulang tahun ke-18 bintang Barcelona, Lamine Yamal tampil memberi penjelasan berhubung kontroversi yang timbul selepas kerajaan Sepanyol membuka penyiasatan terhadap dakwaan diskriminasi ke atas bintang muda Barcelona itu.

Menurut penghibur yang enggan namanya didedahkan itu dalam temu bual bersama media Sepanyol, RAC1, tiada pihak yang menunjukkan sikap tidak menghormati mereka sepanjang acara berlangsung.

Penghibur berkenaan menegaskan bahawa pemain skuad kebangsaan Sepanyol berkenaan tidak melakukan sebarang kesalahan, selain dia juga tidak memahami mengapa isu ini menjadi begitu besar.

BACA LAGI: Pemain lain rehat minum, Lamine Yamal gigih buat latihan extra ketika berpuasa

BACA LAGI: [VIDEO] Katanya bergaduh, ayah Lamine Yamal ditikam 10 kali bertubi-tubi dekat parkir

"Kami orang biasa yang melakukan apa yang kami mahu secara sah sepenuhnya. Biarlah kami bekerja dengan aman," katanya.

Yamal meraikan ulang tahunnya pada 12 Julai dengan majlis tertutup di sebuah restoran, diikuti dengan parti besar di lokasi lain yang dihadiri lebih 200 tetamu termasuk rakan sepasukan Barcelona.

Bukan itu sahaja, majlis ulang tahun pemain berkenaan juga dihadiri beberapa pempengaruh terkenal seperti Buyer Brothers, TheGrefg, SofiG, IlloJuan dan IShowSpeed.

Sebagai sebahagian hiburan, Yamal mengupah sekumpulan penghibur kerdil yang menarik perhatian Association for People with Achondroplasia and Other Skeletal Dysplasia (ADEE).

Persatuan tersebut mengancam tindakan undang-undang atas dakwaan pelanggaran undang-undang anti-diskriminasi.

Pengarah Jeneral Keselamatan Orang Kurang Upaya Sepanyol, Jesus Martin turut melahirkan kebimbangan bahawa tindakan Yamal berpotensi memberi pengaruh negatif kepada masyarakat memandangkan dia merupakan figura teladan.

Namun begitu, penghibur kerdil tersebut tidak bersetuju dengan pandangan itu dan menegaskan kemarahan awam hanya memburukkan lagi kesukaran yang dihadapi komuniti kerdil, yang peluang kerjanya dalam bidang persembahan sudah lama terhad.

Walaupun terikat dengan perjanjian rahsia, dia mendedahkan peranan mereka termasuk menari, menghidang minuman dan melakukan silap mata, sebelum dijemput menyertai sambutan.

"Selama beberapa tahun, kami disakiti oleh mereka yang mahu mengharamkan pekerjaan yang kami gemari, tetapi tidak pula menawarkan pekerjaan atau kursus kepada kami.

"Kami bekerja sebagai penghibur. Mengapa kami tidak boleh lakukan kerana keadaan fizikal kami? Kemarahan ini hanya kerana ini majlis Yamal," katanya.

ADEE menegaskan akan meneruskan tindakan undang-undang dan sosial bagi melindungi maruah individu kurang upaya.

Di bawah undang-undang Sepanyol, persembahan yang mempersenda atau mencemarkan nama baik golongan kurang upaya adalah dilarang, dengan hukuman denda mencecah antara $700,000 (RM3.22 juta) hingga lebih $1 juta (RM4.25 juta).

Yamal yang membuat debut profesionalnya pada musim 2022-2023 pada usia 15 tahun itu memberi sumbangan penting dalam kejayaan Sepanyol di Kejohanan Euro.

Pada musim 2024-2025, pemain muda itu terus cemerlang dengan 18 gol dan 25 bantuan gol dalam 55 perlawanan dan membantu Barcelona memenangi La Liga, Piala Super Sepanyol dan Copa Del Rey.

Pada 13 Julai, Yamal dan pasukannya kembali ke Barcelona dan akan memulakan jelajah ke Jepun dan Korea Selatan pada akhir bulan ini sebagai persiapan menghadapi musim 2025-2026. Perlawanan pertama mereka menentang Vissel Kobe dijadualkan pada 27 Julai di Taman Misaki, Jepun. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram