
PIHAK Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan satu insiden helikopter melibatkan pesawat jenis AS355N nombor pendaftaran 9M-PHG berhampiran kawasan Sungai Pulai, Gelang Patah, Johor pada Khamis.
Helikopter tersebut yang dioperasikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada pukul 9.51 pagi dan membawa lima individu termasuk juruterbang.
Menurut kenyataan CAAM, kesemua lima individu berjaya diselamatkan oleh Pasukan Polis Marin sebelum dibawa ke jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Johor.
BACA LAGI: 5.1 juta akaun BNPL aktif, KPT bimbang mahasiswa terjebak skim beli sekarang bayar kemudian
BACA LAGI: Bank Negara turunkan OPR kepada 2.75 peratus, kali pertama sejak Mei 2023
"Mangsa kini sedang dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru untuk pemeriksaan dan rawatan perubatan.
"Siasatan lanjut akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia mengikut Bahagian XXVI Peraturan Penerbangan Awam 2016," kata kenyataan tersebut.
Berdasarkan perkembangan terkini, dua daripada mangsa dilaporkan berada dalam keadaan kritikal sementara tiga yang lain stabil seperti mana dikongsikan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
"Dengan bantuan dan kepakaran doktor di Hospital Sultanah Aminah, saya percaya kita dapat memberi penjagaan terbaik buat mereka. Kita doakan kesembuhan segera supaya mereka dapat kembali bertugas seperti biasa," kata beliau.
Khalid percaya kepakaran dimiliki pihak perubatan di Hospital Sultanah Aminah akan membantu semua mangsa terlibat.
Jelas Mohd Khalid lagi, tiga daripada mangsa merupakan polis dalam Unit Udara sementara dua yang lain ditempatkan dan bertugas di Balai Polis Tanjung Kupang, Gelang Patah, Johor.
Beliau turut menyangkal dakwaan bahawa helikopter yang digunakan itu aset lama sambol menyatakan isu usia bukan faktor utama sekiranya penyelenggaraan dilakukan dengan baik.
“Lama tidak menjadi masalah, yang penting penyelenggaraan dilakukan dengan baik. Apa yang berlaku ini adalah sesuatu di luar kawalan kita,” katanya.
Mohd Khalid turut memberi jaminan bahawa pihak polis akan menjaga kebajikan semua anggota terlibat serta keluarga mereka.
CAAM memaklumkan siasatan lanjut akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram