Olimpik antara tujuan, 2 bintang golf wanita mampu bawa nama Malaysia di pentas dunia — Deborah Wong


  • Podium
  • Selasa, 08 Jul 2025

Jeneath bergambar dengan trofinya pada Kejohanan WAAP di Kelab Golf Hoiana Shores di Hoi An pada Mac lepas. — Agensi

SUKAN golf di Malaysia kini bukan lagi milik eksklusif golongan berada, malah semakin berkembang dan mampu menjadi batu loncatan buat atlet negara menyerlah di pentas antarabangsa termasuk menembusi Olimpik. 

Demikian pandangan pengadil golf wanita berpengalaman, Deborah Wong yang optimis terhadap masa depan sukan berkenaan di Malaysia khususnya dalam kalangan kaum Hawa pada suatu hari nanti. 

Menurut beliau, persepsi bahawa golf hanya untuk orang kaya semakin terhakis berikutan usaha berterusan pelbagai pihak memperluas akses dan pembangunan sukan itu dari peringkat akar umbi.

BACA LAGI: Dipandang rendah pemain Eropah, Deborah Wong kongsi pengalaman berdepan situasi sukar jadi pengadil golf

BACA LAGI: 'Saya pernah bermimpi', Deborah Wong jadi wanita pertama angkat nama Malaysia adili The Open Championship di Ireland

"Kini kita mempunyai program pembangunan untuk mempromosikan golf umum. Jadi, saya akan mengatakan golf sekarang lebih permainan yang umum sekarang walaupun ia masih diklasifikasikan sebagai agak mahal berbanding badminton dan ping pong. 

"Saya akan katakan bahawa golf kini lebih umum dan mampu dimiliki berbanding dahulu. Persatuan Golf Malaysia (MGA) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut memainkan peranan penting dalam memperkenalkan program pembangunan untuk menarik minat golongan muda," katanya kepada Majoriti.

Beliau turut menekankan pentingnya sokongan ibu bapa yang membenarkan anak-anak mereka memulakan latihan golf pada usia muda, sekali gus membuka peluang lebih besar untuk mereka bersaing di peringkat lebih tinggi.

Dalam pada itu, Deborah menyatakan rasa bangga dengan pencapaian cemerlang dua pemain wanita negara yang dilihat berpotensi besar untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.

Deborah Wong. 

"Baru-baru ini, Jeneath Wong mencipta sejarah apabila menjadi pemain Malaysia pertama memenangi Women’s Amateur Asia-Pacific Championship (WAAP) di Hoi An, Vietnam. Satu pencapaian membanggakan," kongsinya. 

Selain Jeneath, Deborah turut menyebut nama Mirabel Ting, pemain yang kini berada di ranking kedua dunia dalam kategori amatur wanita sebagai satu lagi contoh kejayaan hasil usaha pembangunan sukan golf negara.

Deborah turut menyentuh kepentingan dana yang mencukupi dalam memastikan kesinambungan pembangunan sukan golf. Menurutnya, sokongan korporat seperti yang ditunjukkan oleh CIMB dan Maybank dalam menganjurkan kejohanan bertaraf dunia perlu diteruskan.

"Maybank telah menyokong Maybank Championship LPGA selama dua tahun, dan tahun ini masuk tahun ketiga. Ini antara platform terbaik mempromosikan golf wanita di Malaysia," katanya lagi.

Mirabel kini berada di ranking kedua dunia dalam kategori amatur wanita. — Agensi

Beliau menekankan bahawa peluang untuk melihat atlet golf negara meraih pingat Olimpik tidak mustahil, namun kejayaan itu memerlukan asas kukuh  termasuk pemahaman mendalam tentang peraturan permainan.

"Golf bukan sahaja tentang bermain dengan baik, tetapi juga tentang memahami dan mematuhi peraturan. Sama seperti anda perlu tahu undang-undang jalan raya sebelum memandu, pemain golf juga harus tahu peraturan untuk bermain dengan betul dan adil. 

"Lebih penting jika golfer mengetahui peraturan golf mereka dapat mengambil kesempatan daripada peraturan mereka dapat mereka tahu apa yang perlu dilakukan ketika bermain golf," tambahnya.  

Beliau berharap agar semua pihak dalam industri golf termasuk pengurusan kelab, staf operasi dan kadi diberikan pendedahan secukupnya dalam aspek peraturan dan etika permainan agar industri golf Malaysia lebih terurus dan profesional.

Deborah pernah bertugas sebagai pengadil ketika Piala Asia Hangzhou 2023. 

Untuk info, Deborah melakar sejarah tersendiri apabila menjadi wanita Malaysia pertama yang dijemput untuk bertugas dalam kejohanan berprestij The Open Championship ke-153 di Royal Portrush Golf Club, Ireland Utara pada Julai ini.

The Open yang merupakan antara kejohanan golf tertua dan paling berprestij di dunia, menjadi pentas tertinggi dalam sukan golf, sekali gus menjadikan pelantikan Deborah bukan sahaja satu kejayaan peribadi, malah satu detik bersejarah buat Malaysia dan komuniti golf Asia Tenggara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter,Facebook,Instagram,WhatsApp Channel dan Telegram