
KERJAYA sebagai seorang pengadil dalam apa sukan sekali pun merupakan satu tugas yang sukar susulan sesetengah pemain akan mempunyai stereotaip mereka hanya mahu mencari kesalahan dan bukan mengadili.
Dakwaan berkenaan disangkal oleh pengadil golf wanita berpengalaman, Deborah Wong yang berkongsi bahawa kerjayanya itu berperanan untuk memudahkan pemain dan bukannya menangkap kesalahan mereka.
Nama Deborah bukan asing lagi dalam dunia golf tanah air berikutan beliau kini memegang jawatan sebagai Pengerusi Peraturan Persatuan Golf Malaysia (MGA) serta telah berkhidmat selama 25 tahun sebagai Lady Captain di Kelab Golf & Country Kota Permai.
BACA LAGI: WCGC Malaysia makin sengit, 124 bakat golf korporat buru slot wakil negara ke China
Wanita yang sudah bertahun-tahun menimba pengalaman dalam dunia pengadilan golf sejak 2005 itu berkongsi satu sisi kurang diketahui umum bahawa peranan pengadil sering disalah tafsir.
"Sebenarnya ramai orang menganggap pengadil sebagai orang yang mahu menangkap mereka membuat kesilapan. Tetapi sebenarnya itu tidak benar. Kami selalu berkata yang kami mahu membantu pemain.
"Banyak kali pemain terlibat dalam keadaan di mana mereka mempunyai kesulitan dan tidak tahu bagaimana untuk teruskan dengan permainan mereka. Itulah sebabnya kami berada di sana untuk membantu mereka," katanya kepada Majoriti.
Beliau menjelaskan bahawa pengadil tidak hanya hadir untuk menegakkan peraturan, tetapi juga untuk memberi panduan kepada pemain dalam situasi rumit yang melibatkan bola hilang, bola digerakkan tanpa sengaja, atau insiden luar jangka seperti haiwan mengambil bola.
Walaupun ada pemain yang menganggap pengadil sebagai pengacau atau musuh kerana bimbang diganggu semasa bermain, mereka sebenarnya sangat menghargai kehadiran dan bantuan pengadil yang membolehkan permainan diteruskan dengan adil dan lancar.
Deborah Wong.
Mengimbau kembali satu insiden di kejohanan Malaysia Open, pengadil kelahiran Johor Bahru, Johor berkenaan mendedahkan detik sukar apabila beliau dipandang rendah oleh beberapa pemain dari Eropah.
"Saya tidak banyak bergaduh dengan pemain. Tetapi saya ada satu kejadian di Malaysia Open apabila salah seorang pemain Eropah tidak mempercayai pengadilan yang saya buat ketika itu.
"Ketika kejohanan berkenaan, beberapa daripada mereka Eropah. Mereka besar dan tinggi. Tiba-tiba pula ada pengadil dari Asia yang lebih kecil daripada mereka, saya perlu bercakap dengan mereka macam itu.
"Jadi ia sangat menakutkan. Mereka pandang saya dan tanya, ‘Are you sure?'. Jadi, itulah saatnya saya sangat yakin dengan ruling pada masa itu," kongsinya yang mengenang kembali saat itu dengan tenang.
Ketika itu, Deborah dengan tegas menjelaskan peraturan kepada pemain, dan meskipun pemain itu tidak berpuas hati dan meminta pendapat kedua, keputusan Deborah akhirnya disahkan betul oleh ketuanya.
Deborah berkhidmat selama 25 tahun sebagai Lady Captain di Kelab Golf & Country Kota Permai.
"Dalam keadaan itu, saya setuju memberi pendapat kedua. Kerana pemain tidak berhak meminta pendapatan kedua. Tetapi, untuk membuat pemain gembira dan selesa dengan pengadilan saya, saya menelefon ketua saya.
"Jadi, ketua datang dan memahami situasi dan beritahu pemain bahawa keputusan yang saya beri adalah betul. Jadi, pemain perlu menerima keputusan itu. Itulah bagaimana kita telah menemui situasi di mana ada pemain yang sukar.
"Sukar bukan bermaksud mereka mahu bergaduh dengan saya, tetapi mereka mungkin tidak yakin dengan mengatakan bahawa kami orang Asia hingga mereka tidak yakin dengan pengadilan saya," ujarnya.
Menariknya, Deborah melihat permintaan pemain terhadap pendapat kedua bukanlah satu bentuk cabaran kepada autoriti pengadil, tetapi sebagai proses yang sihat dalam memastikan ketelusan dan keadilan.
Menurut Deborah, dalam situasi yang meragukan, pengadil perlu berani untuk mengakui kekeliruan dan berbincang dengan senior bagi mengelakkan keputusan yang salah dan merosakkan permainan pemain.
Deborah bersama suaminya, Johnny Wong.
Dalam pada itu, apabila ditanya mengenai personalitinya, wanita yang sebelum ini bekerja sebagai Pengurus Besar di sebuah syarikat multinasional Jepun itu mengakui bahawa beliau sememangnya seorang yang serius baik di dalam mahupun luar padang.
"Saya bukan jenis yang suka bergurau. Tapi saya tidak pernah bergaduh dengan pemain. Saya percaya ketegasan perlu disampaikan dengan rasa hormat," katanya.
Untuk info, Deborah melakar sejarah tersendiri apabila menjadi wanita Malaysia pertama yang dijemput untuk bertugas dalam kejohanan berprestij The Open Championship ke-153 di Royal Portrush Golf Club, Ireland Utara pada Julai ini.
The Open yang merupakan antara kejohanan golf tertua dan paling berprestij di dunia, menjadi pentas tertinggi dalam sukan golf, sekali gus menjadikan pelantikan Deborah bukan sahaja satu kejayaan peribadi, malah satu detik bersejarah buat Malaysia dan komuniti golf Asia Tenggara.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter,Facebook,Instagram,WhatsApp Channel dan Telegram