'Saya pernah bermimpi', Deborah Wong jadi wanita pertama angkat nama Malaysia adili The Open Championship di Ireland


  • Podium
  • Rabu, 02 Jul 2025

Pelantikan Deborah bukan sahaja satu kejayaan peribadi, malah satu detik bersejarah buat Malaysia dan komuniti golf Asia Tenggara.

PENGADIL golf wanita berpengalaman, Deborah Wong melakar sejarah tersendiri apabila menjadi wanita Malaysia pertama yang dijemput untuk bertugas dalam kejohanan berprestij The Open Championship ke-153 di Royal Portrush Golf Club, Ireland Utara pada Julai ini.

The Open yang merupakan antara kejohanan golf tertua dan paling berprestij di dunia, menjadi pentas tertinggi dalam sukan golf, sekali gus menjadikan pelantikan Deborah bukan sahaja satu kejayaan peribadi, malah satu detik bersejarah buat Malaysia dan komuniti golf Asia Tenggara.

Beliau yang dilantik menyertai Pasukan Peraturan (Rules Team) oleh The R&A The R&A (Royal and Ancient Golf Club of St Andrews) menjadi bukti nyata terhadap dedikasi tidak berbelah bahagi Deborah dalam memartabatkan sukan golf serta kepakarannya dalam bidang peraturan permainan.

BACA LAGI; WCGC Malaysia makin sengit, 124 bakat golf korporat buru slot wakil negara ke China

BACA LAGI: SUKMA 2026 pentas terakhir Anson Yeo sebelum bergelar pemain golf profesional

Deborah yang juga Ketua Panel Pengadil Persatuan Golf Malaysia (MGA), berkongsi perasaannya apabila dipilih untuk mewakili negara di kejohanan tersebut, satu pengiktirafan besar kepada sumbangannya selama ini dalam arena golf tanah air.

“Saya sangat teruja. Sangat terkejut bila mengetahuinya sampai saya tidak boleh tidur malam. Seperti mimpi jadi kenyataan, saya pernah bermimpi untuk menjadi pengadil di kejohanan itu. Memang tak jangka, ia jadi kenyataan. Satu penghormatan dapat jemputan sebagai pengadil daripada The R&A.

“Bila dapat tahu berita ini, saya terus kongsi beritanya dengan suami saya. Selepas itu saya kongsi dengan ahli keluarga yang lain, rakan-rakan dan kawan-kawan di persatuan. Ini adalah penghormatan kepada peranan saya dalam dunia golf Malaysia.

“Saya dijemput kerana mereka tahu apa yang telah saya lakukan. Saya juga menjadi ketua rakyat Malaysia dalam Persatuan Golf Malaysia dan kami mempunyai lebih 100 pengadil aktif,” katanya kepada Majoriti yang menerima berita gembira itu sekitar Mac lepas.

Deborah Wong.

Deborah menjelaskan walaupun beliau bukan satu-satunya wakil Malaysia yang pernah bertugas bersama R&A sebelum ini, kehadirannya kali ini amat bermakna kerana beliau merupakan wanita pertama dari Malaysia dan juga dari Asia Tenggara.

“Saya bukan satu-satunya perempuan dalam senarai pengadil, tetapi saya satu-satunya dari Malaysia. Malah, perempuan masih minoriti dalam kalangan pengadil. Mungkin kurang daripada 10 peratus.

“Sebab itu saya katakan yang saya agak gementar tapi pada masa sama gembira dapat penghormatan begini. R&A memberi peluang kepada wanita untuk terlibat dalam kejohanan besar seperti ini,” jelasnya yang sudah berkecimpung dalam dunia pengadilan golf lebih 10 tahun.

Lebih menarik, tugasnya kali ini menuntut komitmen fizikal yang tinggi berikutan perlu berjalan selama enam hari, empat hari untuk pertandingan dan dua hari untuk persiapan susulan perlu membiasakan diri dengan laluan padang.

Persediaan fizikal dan mental menjadi aspek utama buat Deborah termasuk pemilihan pakaian sesuai, hidrasi serta tidur yang cukup.

Deborah pernah bertugas sebagai pengadil ketika Piala Asia Hangzhou 2023.

“Kami dijadualkan berjalan selama enam hari, dua hari untuk persiapan dan empat hari sepanjang kejohanan. Walaupun ini musim panas, cuaca dijangka masih sejuk dengan angin laut yang kuat. Jadi kami perlu bersedia untuk sebarang kemungkinan,” jelasnya.

“Saya tidur awal, sebelum pukul 10 malam, dan bangun seawal 5 pagi. Gaya hidup ini saya bentuk sejak menjadi pemain dan pengadil golf. Saya juga menjaga pemakanan dan kerap berjalan atau berkayuh bersama suami untuk kekalkan stamina.

“Saya tidak percaya kepada persiapan saat akhir. Ini bukan semata-mata tugas, tapi satu komitmen gaya hidup. Rehat yang cukup dan perancangan awal sangat penting,” katanya sambil menyatakan bahawa mendengar muzik dan menonton drama juga menjadi cara terbaiknya untuk berehat.

Untuk rekod, beliau kini memegang jawatan sebagai Pengerusi Peraturan Persatuan Golf Malaysia (MGA) serta telah berkhidmat selama 25 tahun sebagai Lady Captain di Kelab Golf & Country Kota Permai.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram