
KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) memandang serius penglibatan mahasiswa dalam skim beli sekarang bayar kemudian (BNPL) yang berisiko membebankan mereka dengan hutang tinggi, lapor TVS.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menegaskan bahawa isu itu memerlukan tindakan berterusan termasuk kempen kesedaran bagi mengelakkan pelajar daripada terjerumus dalam komitmen kewangan yang tidak terkawal.
“Saya ingin mengingatkan mahasiswa supaya tidak terjebak dengan skim pinjaman yang boleh menjejaskan kehidupan mereka. Ramai mungkin tidak sedar wujud kadar faedah tinggi yang akhirnya menjerat mereka dalam hutang yang berpanjangan,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean (AMM) ke-58 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Rabu.
BACA LAGI: Isu paparan graf aplikasi myTNB kembali berfungsi, tak jejas bil Julai pelanggan
Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Sebelum ini, industri BNPL mencatatkan lonjakan ketara dengan lebih 5.1 juta akaun aktif direkodkan pada akhir 2024. Jumlah transaksi juga telah dilaporkan meningkat kepada 149 juta dengan nilai keseluruhan mencecah RM12 bilion.
Namun begitu, peningkatan tersebut turut dikaitkan dengan peningkatan kes hutang tertunggak serta caj tersembunyi yang dilaporkan membebankan pengguna.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kemungkinan mahasiswa di negara ini telah disenarai hitam akibat terjebak dengan skim tersebut, Zamry berkata, maklumat berkaitan perkara itu masih belum diterima oleh pihak kementerian.
Walau bagaimanapun, telah diarahkan oleh beliau agar maklumat lanjut mengenainya diperoleh oleh KPT untuk tindakan susulan.
“Semakan mendalam akan dibuat dan sekali lagi diingatkan kepada para pelajar supaya tidak terperangkap dalam skim sebegini kerana akhirnya beban hutang akan ditanggung oleh mereka sendiri,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram