Dua trofi utama jadi rebutan, 10 pasukan berentap buru kejuaraan Liga Sosial Temerloh


  • Podium
  • Rabu, 09 Jul 2025

Liga Sosial Temerloh 2025 bakal membuka tirai saingannya pada 11 Julai ini.

BOLA sepak komuniti Temerloh terus berkembang dengan penganjuran Liga Sosial Temerloh 2025 iaitu satu inisiatif komuniti yang menekankan perpaduan, keseronokan dan gaya hidup sihat melalui sukan. 

Liga itu diwujudkan sebagai alternatif kepada Liga Temerloh anjuran rasmi oleh Temerloh FA, khusus bagi pasukan-pasukan amatur yang ingin bersaing secara santai dalam kejohanan yang tersusun dan bersistem.

Memetik kenyataan media yang dikeluarkan baru-baru ini, Liga Sosial Temerloh merupakan cetusan idea Adam Ahmad iaitu tokoh korporat dan politik tempatan yang aktif dalam pembangunan bola sepak di daerah itu. 

BACA LAGI: Pentingnya AED, pilu hati lihat 4 bintang bola sepak termasuk Firos, meninggal dunia ketika beraksi

BACA LAGI: Bola sepak bukan sekadar skil tetapi, set minda, sikap, disiplin dan pendidikan

Idea itu disambut oleh Syed Muaz dari Kubang Gajah FC, yang turut sama memainkan peranan penting dalam merealisasikan kejohanan ini melalui kerjasama rapat antara kedua-dua pihak.

Menurut Adam selaku pengerusi kejohanan, objektif utama liga itu adalah untuk memberi ruang kepada pemain-pemain muda dan pasukan-pasukan amatur untuk mengasah bakat mereka dalam suasana yang lebih santai tetapi tetap kompetitif. 

"Inisiatif penganjuran kejohanan ini tidak lain tidak bukan bagi menyediakan platform kepada pemain-pemain bola terutamanya generasi baru dalam daerah Temerloh," katanya memetik kenyataan yang dikeluarkan. 

Dengan pendekatan liga penuh (round robin), setiap pasukan akan mendapat peluang bermain secara konsisten dan adil. 

Peraturan liga ini mengekalkan unsur pengadilan profesional seperti ofsaid dan kekasaran namun dilaksanakan dalam suasana yang lebih mesra dan harmoni, sejajar dengan matlamat sosial liga ini. 

Bukan itu sahaja, fleksibiliti dalam pendaftaran pemain dan kadar yuran yang rendah turut menjadikan liga ini lebih mudah diakses oleh pasukan-pasukan komuniti.

Temerloh FA, selaku badan induk bola sepak daerah turut menyatakan sokongan penuh terhadap penganjuran ini memandangkan Liga Temerloh anjuran mereka tidak dianjurkan pada tahun ini. 

Tradisinya, Liga Temerloh hanya berlangsung dua tahun sekali, sekali gus memberi ruang dalam kalendar bola sepak untuk kejohanan seperti Liga Sosial ini.

Bagi menyemarakkan lagi kejohanan, dua trofi utama diperkenalkan: Piala FA Dato Ridzuan untuk juara kategori kalah mati dan Piala DOD untuk juara liga. Kedua-dua piala itu dijangka menjadi rebutan dalam kalangan pasukan yang bertanding.

Dengan gabungan pengalaman pengurusan Adam dan kepakaran teknikal Kubang Gajah FC, serta sokongan pihak-pihak berkepentingan, Liga Sosial Temerloh 2025 dijangka menjadi medan pencungkil bakat baharu dan penggerak perpaduan komuniti melalui sukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram