Tiada senjata atau peralatan hilang, trak tentera 3 tan jatuh dalam tasik di Gerik


  • Kes
  • Jumaat, 04 Jul 2025

Siasatan awal mendapati trak tersebut terbabas ke dalam tasik akibat kegagalan sistem brek.

SEBUAH trak tentera seberat tiga tan milik Batalion Ke-9 Rejimen Askar Melayu Diraja (Para) terjunam ke dalam tasik di Kem Sri Banding, Gerik, Perak pada Khamis.

Menurut laporan Buletin TV3, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, tiada kecederaan dilaporkan dan semua anggota yang berada dalam kenderaan berjaya menyelamatkan diri.

Beliau berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 2.50 petang Khamis di kawasan jeti bot kem berkenaan, ketika kenderaan itu sedang menunggu untuk mengambil anggota.

BACA LAGI: [VIDEO] Israel serang tapak nuklear, markas tentera Iran

BACA LAGI: [VIDEO] Iran serang balas Israel selepas komander tentera tertinggi, 6 saintis nuklear antara 78 maut

Noor Hisam menyatakan kesemua tiga anggota dalam kenderaan tersebut sempat menyelamatkan diri.

“Menurut laporan awal, trak tersebut bergerak tanpa kawalan selepas sistem brek dipercayai gagal berfungsi sebelum sebahagian kenderaan itu tenggelam.

“Tiga anggota berada dalam kenderaan semasa kejadian, namun mereka sempat keluar sebelum trak dimasuki air,” katanya sambil menambah tiada senjata atau peralatan hilang dalam kejadian itu.

Tambah beliau lagi, siasatan awal mendapati kegagalan sistem brek menjadi punca kejadian.

“Operasi menyelamat dilaksanakan segera oleh Rejimen Askar Melayu Diraja Ke-15 dengan bantuan daripada Unit Bengkel Ke-2. Tiada laporan polis dibuat berhubung kejadian ini,” ujarnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram