KETUA Jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner akui kecewa selepas sekadar mengutip satu mata pada aksi Liga Super menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada Ahad.
Beraksi di hadapan 11,000 penyokong sendiri, Steinbruckner berkata, ketumpulan penyudah menjadi faktor utama skuad Penyu masih kempunan meraih kemenangan setelah tiga perlawanan.
Lebih malang, TFC yang menamatkan liga dengan cemerlang di tangga kedua musim lalu, turut gagal menghasilkan sebarang jaringan dalam ketiga-tiga perlawanan menyebabkan mereka terperosok di tangga terbawah liga.
"Saya kecewa malam ini, kami hanya mendapat satu mata. Kami mencipta banyak peluang tetapi gagal menjaringkan gol," katanya selepas perlawanan Liga Super menentang KL City FC.
Pada perlawanan tersebut, TFC berkongsi satu mata dengan skuad The City Boys selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga akhir perlawanan.
Sehubungan itu, Steinbruckner berkata, dia mungkin akan melakukan rombakan pemain di beberapa posisi untuk perlawanan akan datang.
"Saya perlu membuat perancangan, saya harap Habib Haroon (pemain tengah) boleh diturunkan dalam perlawanan selepas ini untuk memperbaiki prestasi pasukan kami. Malam ini saya tidak mahu mengambil risiko kerana dia masih cedera.
"Saya juga harus mempertimbangkan mengenai Jordan Mintah kerana Ivan (Ivan Mamut) dan Adisak (Adisak Kraisorn) bermain tiga kali tanpa menghasilkan jaringan tetapi barisan pertahanan kami okey,” katanya.
Dalam pada itu, pengendali KL City FC, Bojan Hodak berkata, dia berpuas hati apabila berjaya membawa pulang satu mata dari bumi Darul Iman selepas tempoh tiga tahun.
"Pertama kali dalam tempoh tiga tahun dapat satu mata dari Terengganu. Mungkin mereka (TFC) tidak berapa kuat dari segi serangan berbanding tahun lepas.
"Tetapi masih sukar untuk menentang mereka. Mereka banyak mencipta peluang seperti juga kami, jadi saya fikir satu mata adalah adil bagi kedua-dua pasukan," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram