
SKUAD Harimau Malaya terus diperhalusi apabila dikhabarkan kemungkinan pemain warisan fasa kedua bakal menyusul bermula pada Ogos ini dengan ia sebagai langkah memburu status pasukan elit di rantau Asia.
Selepas fasa pertama berjaya membuat penampilan pada aksi kelayakan Piala Asia menentang Vietnam baru-baru ini, tumpuan kini terarah kepada kemasukan barisan baharu yang dijangka mengukuhkan lagi skuad kendalian Peter Cklamovski.
Mengulas mengenai kehadiran pemain warisan fasa kedua itu, bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali menegaskan bahawa keputusan sama ada mahu memakai lebih banyak bintang campuran adalah hak mutlak ketua jurulatih, yang lebih memahami keperluan dan taktikal pasukan.
"Tak ada masalah (tambah pemain warisan). Bagi saya sebagai orang yang melihat daripada luar, semua itu keputusan jurulatih.
"Sebab dia (jurulatih) yang lebih tahu apa keperluan pasukan untuk lebih bagus dan lebih positif selepas ni. Bagi saya kalau pemain itu betul-betul mengikut piawaian dan pemilihan apa yang jurulatih nak, saya rasa tak ada masalah," katanya.
Safee ditemui selepas sidang media perlawanan bola sepak tujuh sebelah Zurich Liga 7x7 All Stars 2025 di sebuah hotel di ibu kota pada Khamis. Perlawanan itu berlaku di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Kuala Lumpur pada 19 Julai 2025.
Dalam pada itu, Safee juga memberi peringatan sesetengah pihak terus mempersoalkan kaitan pemain-pemain ini dengan Malaysia sehingga memberi tekanan bukan sahaja kepada mereka, malah turut dirasai jurulatih pasukan.
Negativiti yang disuarakan segelintir pihak dianggap sebagai tidak membina, apatah lagi ketika skuad kebangsaan sedang berusaha mengukuhkan prestasi pasukan kebangsaan di pentas antarabangsa.
"Paling penting yang kita nak lihat sekarang ialah kejayaan. Kalau kita memilih untuk memikirkan perkara atau masalah, kita akan berada di takuk ini sahaja.
"Bagi saya, selagi tidak melanggar garis panduan yang telah ditetapkan oleh FIFA, semua tak ada masalah. Kita perlu berjaya dan membuktikanlah negara kita standing dengan pasukan lain," jelasnya.
Penampilan pemain warisan baharu seperti Facundo Garces, Jon Irazabal, Hector Hevel, Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado, Gabriel Palmero dan Imanol Machuca nyata memberi impak besar buat skuad kebangsaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram