
UCAPAN penuh bermotivasi Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim terhadap pasukan kebangsaan ketika aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil kini viral di media sosial.
"Ada sesetengah pihak meragui kami, tidak mengapa. Kami sedang melakukan sesuatu yang baharu," katanya yang mesra dengan gelaran TMJ dalam klip video pendek berkenaan.
Kata-kata itu jelas memberi inspirasi kepada bintang Harimau Malaya ketika mereka mempamerkan aksi berkelas dunia dalam perlawanan kelayakan pusingan ketiga Piala Asia 2027 menentang Vietnam itu pada Selasa.
BACA LAGI: [VIDEO] Hargai sumbangan bintang warisan, Zainal Abidin ingatkan pemain lokal terimalah revolusi
Meremang bulu roma... Kata-kata semangat TMJ (tengah) jelas membakar adrenalin skuad Harimau Malaya
Skuad kebangsaan berjalan dengan bangga dengan kemenangan 4-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil di hadapan lebih 50,000 penyokong.
TMJ memberitahu 'budak-budak' Harimau Malaya itu supaya tidak mengendahkan cakap-cakap negatif tetapi tetap fokus dalam memulihkan imej skuad kebangsaan.
"Kami cuba membawa bola sepak negara ke tahap yang baru. Ini seperti revolusi. Apa sahaja yang kami bina, ia tidak bermakna jika kami tidak mendapat keputusan.
"Ada sesetengah pihak meragui kami, mereka tidak biasa dengannya. Biarkan persembahan anda bercakap lebih kuat daripada apa yang mereka fikirkan.
"Persembahan ini, perpaduan ini, ini rumah kami, dan sudah tiba masanya untuk kami menunjukkan warna sebenar kami," katanya di bilik persalinan.
"Jika kami menukar bola sepak di negara ini, semuanya kerana anda," kata TMJ kepada para pemain.
"Tidak ada orang lain, anda adalah pahlawan. Anda memberi mereka (peminat) rasa self belonging (kekitaan). Anda membuat mereka percaya. Tunjukkan watak kita, semangat juang kita. Ini rumah kita!" katanya.
Holgado (kanan) membalas kepercayaan peminat dengan gol debut kebangsaan ketika berdepan Vietnam — Facebook/FAM
Kata-kata semangat TMJ disambut dengan cukup baik oleh bintang kebangsaan. Gol itu datang daripada pemain warisan yang baru tiba, Joao Figueiredo (minit ke-49), Rodrigo Holgado (minit ke-58), diikuti dua lagi gol daripada pemain berpengalaman La’vere Corbin-Ong (minit ke-66) dan Dion Cools (minit ke-88), yang juga pemain warisan.
Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski menjelaskan terdapat beberapa halangan yang terpaksa dihadapi oleh dirinya dan TMJ setiap hari, lapor Stadium Astro.
Peter Cklamovski mendedahkan kekangan yang dihadapi ketika usaha revolusi skuad Harimau Malaya — Facebook/FAM
"Terdapat beberapa perkara dalaman (yang berlaku), ada elemen pengkhianatan, politik dan halangan dalaman yang kita hadapi setiap hari.
"Jika kita tidak menang malam ini (semalam), mereka akan berpaling dan mengejar kita. Mereka akan kejar TMJ, mereka akan kejar saya kerana saya jurulatih yang teruk.
"Mereka akan kejar pemain disebabkan keputusan perlawanan. Tapi sekarang mereka akan jadi kawan baik kita, mereka akan berada di sebelah saya. Itu satu perkara yang bagus kerana kita bersatu sebagai sebuah negara." katanya selepas tamat perlawanan. — The Star/S. SAKTESH
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram