
KELAB berpangkalan di Brunei, DPMM FC terus rancak memerhati baka-bakat tempatan tanah air bagi memperkuatkan pasukan mereka selepas mengesahkan kepulangan semula mereka ke Liga Malaysia (Liga M) apabila sah menyertai Liga Super bermula musim 2025/2026.
Kepulangan semula itu disahkan oleh pihak mereka sendiri apabila menandatangani perjanjian penyertaan bersama-sama Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam sebuah majlis diadakan di Hotel Thistle, Johor Bahru pada Selasa.
DPMM yang sebelum ini beraksi di Liga Perdana Singapura (SPL) untuk kempen 2024/2025 menjadi salah satu daripada 14 muka baharu Liga Super bagi musim 2025/2026. Selain mereka, dua kelab dari Liga A1 iaitu Melaka FC dan Imigresen FC turut memeriahkan saingan.
BACA LAGI: Akhyar Rashid 'diburu', sasaran terkini DPMM selepas gagal ikat tonggak Sri Pahang
BACA LAGI: DPMM berputih mata, gagal ‘done deal’ bek Pahang seperti mana Fairuz Zakaria
Susulan itu, tidak mengejutkan untuk mendengar khabar angin DPMM rancak memancing pemain Liga M dengan terbaharu kelab berkenaan difahamkan mahu menggunakan khidmat bek kiri Perak FC iaitu Tommy Mawat Bada dan tonggak tengah Sri Pahang, Sergio Aguero.
"Menurut DPMM, mereka akan menandatangani pemain tengah Sergio Aguero dan pemain sayap bertahan Tommy Mawat Bada.
"Aguero berkata tawaran telah datang tetapi perbincangan masih berlangsung dan dia masih menilai tawaran daripada kelab-kelab lain," kongsi pemerhati sukan tanah air, T. Avineshwaran mengenai perkembangan itu.
Tommy antara pemai utama Perak untuk kempen 2024/2025. — Facebook/PerakFC
Dikenali dengan ketenangan dalam permainan serta versatiliti untuk beraksi di posisi pertahanan dan tengah, Tommy dijangka mampu memberikan dimensi baharu kepada barisan pertahanan DPMM FC.
Musim lepas menyaksikan Tommy merupakan salah satu tonggak penting Perak FC apabila pemain berusia 29 tahun berkenaan merekodkan 26 aksi domestik dengan dia juga mencetak dua gol dan satu bantuan jaringan.
Manakala, Aguero yang juga merupakan kapten Tok Gajah itu baru-baru ini mencuri perhatian apabila mendapat pujian daripada pengurus Manchester United, Ruben Amorim susulan kualitinya mengawal tengah dengan baik sehingga berjaya memberikan saingan kepada United.
Aguero (kanan) cuba menghalang gerakan Kobbie Mainoo (kiri).
Berkat persembahan Aguero yang mewakili Asean All Star, pasukan berkenaan berjaya menang 1-0 ke atas Man United dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 28 Mei lepas.
Jika perpindahan Tommy dan Aguero menjadi kenyataan, mereka akan menyertai seorang lagi pemain Malaysia yang juga bekas pertahanan Penang FC iaitu Fairuz Zakaria yang sah menyertai kelab berkenaan lebih awal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram