
"KAMI tak takut pemain muda, mereka yang patut takut".
Itulah ungkapan legenda bola sepak tanah air, Razman Roslan yang tampil berani menyuarakan pandangan peribadinya ketika sesi sidang media menjelang perlawanan persahabatan menentang naib juara Liga Super 2024, Selangor FC.
Menurut Razman, kehadiran pemain muda dalam skuad Gergasi Merah bukan satu perkara yang menggusarkan pasukannya, Asia Warriors FC, sebaliknya memberi isyarat bahawa mereka bersedia memberi saingan sengit.
BACA LAGI: 'Saya tak peduli', Kinoshi enggan layan dakwaan Safuwan 'dibuang' Selangor FC
BACA LAGI: Kalau ada peluang, saya mahu melatih Selangor FC — Honda
Selangor FC akan menerima kunjungan Asia Warriors FC dalam perlawanan persahabatan pada Julai nanti.
“Kami tak takut pemain muda. Sebenarnya, mereka yang patut takut kami,” kata Razman dengan penuh keyakinan ketika Sidang Media Perlawanan Persahabatan antara Selangor FC dan Asia Warriors FC di Pusat Latihan Selangor FC di Shah Alam, Selangor pada Selasa.
Menariknya lagi, bekas tonggak Selangor FC itu turut menyebut tiga tonggak utama Gergasi Merah yang diyakini mampu memberikan cabaran hebat kepada Asia Warriors FC, iaitu Faisal Halim, Harith Haiqal Adam Afkar dan Sharul Nazeem.
Ketiga-tiga pemain berkenaan dilihat sebagai aset penting buat pasukan Merah Kuning, bukan sahaja kerana kemahiran individu mereka, tetapi juga kerana pengalaman dan semangat juang tinggi yang ditampilkan sepanjang musim.
"Pendapat saya, Faisal Halim, Harith Haiqal, Sharul Nazeem antara pemain muda yang miliki kualiti baik, aksi nanti ini akan jadi lebih menarik, tapi kami pun akan memberi saingan dengan pengalaman yang kami ada," ujarnya.
Kenyataan Razman itu bukan sahaja memperlihatkan semangat juang tinggi dalam Asia Warriors nanti, malah ia juga memberikan mesej jelas bahawa mereka tidak akan memberi laluan mudah kepada kelab Lembah Klang itu.
Pengendali Gergasi Merah, Katsuhito Kinoshi (kiri) berharap agar perlawanan bertemu Asia Wariors FC menjadi menjadi pentas pembelajaran buat pemain Selangor FC.
Sementara itu, pengendali Selangor FC, Katsuhito Kinoshi mahu semua pemainnya terutamanya pemain muda menikmati pengalaman berharga apabila berdepan skuad legenda, Asia Warriors FC dalam perlawanan persahabatan pada 26 Julai nanti.
Menurutnya, perlawanan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor itu bukan semata-mata untuk memburu kemenangan, sebaliknya menjadi pentas pembelajaran dan penghormatan terhadap sejarah bola sepak Asia.
“Saya ingin beri peluang kepada semua pemain, termasuk pemain muda untuk beraksi dan menikmati pengalaman bertemu legenda bola sepak Asia. Ini bukan sekadar perlawanan, tetapi platform terbaik untuk mereka belajar daripada yang terbaik,” katanya.
Perlawanan menarik itu bakal menampilkan barisan legenda dari sembilan negara Asia termasuk bekas pemain ternama yang pernah mencipta nama di pentas antarabangsa dan Liga Malaysia.
Antara bintang ternama yang dijangka membarisi Asia Warriors FC ialah Keisuke Honda (Jepun), Baihakki Khaizan (Singapura), Anton Del Rosario (Filipina), selain dua bekas pemain kebangsaan Malaysia Indra Putra Mahayuddin dan Razman Roslan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram