
SIAPA sangka, pemain yang pernah dianggap tidak menyerlah ketika bersama Selangor FC kini menjadi nadi utama kejayaan skuad kebangsaan masing-masing dalam misi layak ke Piala Dunia FIFA 2026.
Empat bekas pemain import The Red Giants iaitu Ali Olwan, Umarbek Eshmurodov, Yazan Al-Arab dan Reziq Bani kini mencuri tumpuan selepas membantu Jordan dan Uzbekistan mencipta sejarah tersendiri di pentas antarabangsa.
Meskipun prestasi mereka bersama Selangor pernah dipertikaikan, hal itu tidak menghalang mereka untuk tampil cemerlang bersama skuad kebangsaan masing-masing.
BACA LAGI: Berebut posisi, tak mustahil Hector Hevel bikin 3 midfielder JDT 'gigit jari'
BACA LAGI: [VIDEO] 'Coach Kino tak nak saya', Safuwan buka pekung kenapa tinggalkan Selangor
Perkembangan itu sekali gus mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan tentang ketepatan pemilihan pemain import dan kesesuaian sistem permainan di Liga Malaysia (Liga M).
Ramai penyokong mula tertanya-tanya, adakah pemain-pemain ini tidak diberi peluang secukupnya semasa bersama kelab atau mereka sekadar kurang serasi dengan corak bola sepak tempatan?.
Apa pun jawapannya, kejayaan mereka kini tidak dapat disangkal. Dari pemain yang pernah dianggap gagal, mereka kini mengharumkan nama negara di pentas bola sepak dunia.
1. Ali Olwan
Bekas penyerang lincah Selangor FC, Ali Olwan mencipta sensasi apabila menjadi wira Jordan dalam aksi penentuan kelayakan ke Piala Dunia 2026.
Dengan hatrik yang dijaringkan termasuk satu penalti pada minit ke-45 dan dua gol lagi pada babak kedua Olwan memastikan kemenangan bergaya 3-0 ke atas Oman, sekali gus membawa Jordan ke pentas Piala Dunia buat kali pertama.
Meskipun jodohnya bersama Gergasi Merah tidak bertahan lama, Ali kini meraih pujian selepas mempamerkan prestasi cemerlang bersama skuad kebangsaan Jordan. Kejayaannya di pentas antarabangsa membuka mata ramai pihak, termasuk penyokong Selangor sendiri.
Walaupun pernah dianggap kurang tajam di hadapan gawang dengan hanya menjaringkan tiga gol daripada 17 perlawanan liga musim 2024, ramai penyokong kini mengakui pemergiannya merupakan satu kerugian besar buat pasukan.
2. Yazan Al-Arab
Bekas bek Selangor FC, Yazan Al-Arab turut memainkan peranan penting dalam kemenangan Jordan ke atas Oman.
Ketangkasan dan ketegasan Yazan di bahagian pertahanan membolehkan Jordan mengekalkan rekod tanpa bolos dalam perlawanan penting itu.
Meskipun pernah terpalit dengan kontroversi apabila menendang pengadil selepas aksi suku akhir Piala Malaysia menentang Terengganu FC pada 24 September 2023, insiden itu memberi kesan besar kepada karier Yazan di Malaysia.
Hasrat Yazan untuk membawa Uzbekistan ke Piala Dunia 2026 menjadi kenyataan. — Facebook
Akibat perbuatannya, dia dikenakan hukuman gantung seumur hidup daripada terlibat dalam sebarang aktiviti bola sepak di negara ini oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Namun, insiden itu tidak memadamkan potensi sebenar Yazan. Kini, dia kembali bersinar di pentas antarabangsa sebagai tonggak pertahanan Jordan, membantu skuad negaranya mencipta sejarah layak ke Piala Dunia 2026.
Melihat kepada prestasi semasa Yazan yang terus meningkat, ruginya penyokong Selangor terpaksa melupakan khidmat bek tengah Jordan itu kerana hukuman mengasari pengadil perlawanan pada 2024.
3. Umarbek Eshmurodov
Bagi Umarbek Eshmurodov, impian membawa Uzbekistan ke Piala Dunia akhirnya menjadi kenyataan.
Ketika masih beraksi di Liga M, bekas pertahanan tengah Selangor FC itu pernah menyatakan harapannya agar pengalaman di luar negara menjadi pemangkin kepada prestasinya bersama skuad kebangsaan.
Selepas meninggalkan Selangor, Umarbek menabur bakti bersama FC Nasaf. — Instagram/umar_eshmurodov92
Kini, selepas seri 0-0 menentang Emiriah Arab Bersatu dalam aksi penentuan, Uzbekistan akhirnya layak ke Piala Dunia buat kali pertama dalam sejarah, satu pencapaian besar sejak merdeka daripada Kesatuan Soviet pada 1991.
Walaupun dianggap tidak menonjol ketika bersama Selangor sebelum ini, Umarbek membuktikan sebaliknya di pentas antarabangsa.
4. Reziq Bani
Penyerang Jordan, Reziq Bani Hani juga pernah mewarnai saingan Liga M bersama Selangor FC, meskipun lebih kerap digunakan sebagai pemain gantian oleh bekas jurulatih, Nidzam Jamil.
Situasi itu secara tidak langsung merencatkan potensi dan reputasi sebenar Reziq, yang ketika itu belum diberi peluang sepenuhnya untuk menyerlah dalam kesebelasan utama.
Jodohnya bersama Selangor tidak panjang dan dia kemudiannya kembali ke Jordan untuk menyertai kelab tempatan, Al Hussein SC.
Reziq sering menjadi pemain gantian ketika beraksi buat Selangor FC. — Instagram/reziq_banihani
Kini, Reziq kembali menjadi perhatian selepas turut membantu Jordan mara ke Piala Dunia bersama rakan senegara, Ali Olwan dan Yazan Al-Arab.
Prestasi semasa Reziq membuktikan peningkatan ketara sejak meninggalkan Liga Malaysia.
Kejayaan empat bekas pemain Selangor FC ini bukan sahaja membuka mata peminat bola sepak tempatan, malah menjadi isyarat bahawa pencarian dan pengurusan bakat dalam liga tempatan wajar diberi perhatian lebih serius. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram