[VIDEO] Gugur air mata jantan Jojo Ghazali dalam dakapan ibu lepas tewas di tangan jaguh Amerika


  • Podium
  • Sabtu, 07 Jun 2025

Tangkap layar menunjukkan momen penuh emosi ketika Jojo ditenangkan oleh ibunya selepas tewas kepada jaguh Amerika. — Facebook/ONEChampionships

JAGUH Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar atau lebih dikenali sebagai Jojo terpaksa akur dengan lawannya apabila tewas kepada petarung berpengalaman Amerika-Colombia, Diego Paez dalam aksi ONE Fight Night 32 yang berlangsung di Stadium Lumpinee, Bangkok pada Sabtu.

Paez, 31, yang gagal melepasi ujian hidrasi dan timbangan memperoleh kemenangan 2-1 berdasarkan keputusan juri bagi kategori Flyweight.

Kekalahan itu merupakan kekalahan ketiga buat Jojo dalam karier profesionalnya dan jelas memberikan tamparan emosi yang berat buat atlet muda berusia 18 tahun itu.

BACA LAGI: Pernah 'hilang' 12 minggu akibat cedera, Sabah patut fikir 2 kali jika mahu tonggak Newcastle

BACA LAGI: Berebut posisi, tak mustahil Hector Hevel bikin 3 midfielder JDT 'gigit jari'

Sebelum ini, Jojo tidak bernasib baik apabila tewas kepada jaguh Colombia, Johan Estupinan dalam kategori Flyweight Muay Thai: One 170 Januari lalu.

Walaupun memberikan aksi terbaik dan menampilkan semangat juang tinggi sepanjang pertarungan, keputusan tidak memihak kepadanya.

Momen penuh emosi itu turut dirakam menerusi perkongsian video di laman rasmi ONE Championship di Facebook, yang menunjukkan Jojo tidak dapat menahan sebak selepas tamat pertarungan.

Dalam video tersebut, kelihatan air matanya gugur ketika menerima pelukan daripada ibunya, Jennana Johnson yang berada di sisi untuk memberikan sokongan moral.

Kekalahan itu pastinya mengecewakan bukan sahaja Jojo, malah penyokong tanah air yang mengikuti perkembangan kariernya sejak awal.

Namun, semangat dan dedikasi yang ditunjukkan dalam perlawanan ini membuktikan Jojo masih merupakan antara bintang muda paling bersinar dalam arena Muay Thai profesional.

Dengan usia yang masih muda, Jojo dijangka bangkit semula dan terus memperbaiki prestasi untuk aksi-aksi seterusnya di pentas antarabangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram