
SABAH FC dilaporkan sedang berusaha mendapatkan khidmat pemain pertahanan kelahiran New Zealand, Dane Ingham bagi menghadapi saingan musim 2025/26.
Pemain berusia 25 tahun itu merupakan pertahanan yang versatil, mampu beraksi di posisi bek kiri, bek kanan, malah boleh bermain di bahagian tengah kanan padang.
Keupayaan itu dilihat seiring dengan keperluan semasa pasukan The Rhinos yang kini dalam usaha memperkukuh skuad selepas beberapa pemain utama dijangka meninggalkan kelab sebelum musim baharu bermula.
BACA LAGI: Berebut posisi, tak mustahil Hector Hevel bikin 3 midfielder JDT 'gigit jari'
BACA LAGI: [VIDEO] 'Coach Kino tak nak saya', Safuwan buka pekung kenapa tinggalkan Selangor
Tonggak kelahiran New Zealand, Dane Ingham kini dalam radar Sabah FC. — Agensi
Ingham menghabiskan sebahagian besar kariernya di Australia bersama Brisbane Roar dan Perth Glory sebelum menyertai Newcastle Jets pada 2021. Sepanjang empat musim bersama Jets, Ingham telah mencatat hampir 100 penampilan dalam pelbagai kejohanan.
Menurut perkongsian daripada pemerhati sukan tempatan, T. Avineshwaran, dia menyebut bahawa nama Ingham kini berada dalam radar Sabah FC.
“Difahamkan bahawa Sabah sedang mencari untuk merekrut bek sayap Newcastle Jets, Dane Ingham.
"Beliau juga mampu bermain sebagai pemain sayap, berusia 25 tahun dan telah memenangi 14 kaps bersama New Zealand,” katanya menerusi hantaran di platform X.
Bagaimanapun, minat Sabah terhadap pemain kebangsaan New Zealand itu mungkin menuntut penelitian lebih mendalam memandangkan Ingham sebelum ini mengalami kecederaan otot yang serius pada Disember lalu.
Kecederaan itu memaksanya berehat selama 12 minggu dan menjalani pembedahan, sekali gus menjejaskan penyertaannya dalam aksi kelayakan Piala Dunia FIFA Zon Oceania bersama skuad All Whites.
Meskipun memiliki pengalaman luas dan masih muda, risiko kecederaan yang pernah dialaminya boleh menjadi pertimbangan besar, terutama memandangkan dia beraksi di posisi penting benteng pertahanan yang memerlukan tahap kecergasan maksimum.
Setakat ini, masih belum ada pengesahan rasmi daripada pihak pengurusan Sabah FC mengenai rundingan atau minat terhadap pemain tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram