
LEGENDA seni mempertahankan diri, Khabib Nurmagomedov boleh diangkat sebagai antara ikon sukan Islam terbaik kerana dia tidak pernah melupakan tanggungjawab sebagai seorang Muslim walaupun sudah cukup terkenal.
Dia yang dikenali selepas bertahun-tahun terlibat dalam Ultimate Fighting Championshiip (UFC) disegani di dunia Barat kerana bersikap merendah diri dan mengamalkan gaya hidup bertaraskan Syariah.
Malah, baru-baru ini, atlet kelahiran Rusia itu sekali lagi menjadi bahan bualan ramai selepas dia menolak pelawaan bersalaman dengan pengacara televisyen wanita dengan penuh beradab.
BACA LAGI: [VIDEO] Lepas hina isteri Khabib 'tuala', Conor McGregor ludah muka fans di kasino Las Vegas
BACA LAGI: [VIDEO] Gara-gara keliru tentang 'emergency exit', Khabib Nurmagomedov dihalau dari pesawat
Perkara tersebut berlaku selepas kemenangan Paris Saint-Germain (PSG) ke atas Inter Milan dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara UEFA (UCL) di Jerman pada Ahad dengan Khabib berada di atas padang.
Menyedari kehadiran legenda tersebut, beberapa bekas pemain iaitu Thierry Henry, Jamie Carragher serta Micah Richards mempelawanya untuk memberi sedikit ulasan.
Khabib secara ramah menerima pelawaan berkenaan dan sempat bersalaman bersama ketiga-tiga pengacara tersebut, namun memilih untuk menolak tangan dihulurkan hos wanita, Kate Abdo.
Namun, penolakan itu dibuat dengan sungguh beradab apabila bekas atlet sukan lasak itu meletakkan tangan di dada dengan tindakan tersebut disedari pengacara berkenaan.
Khabib tidak pernah melupakan tanggungjawab sebagai Muslim meskipun sudah begitu dikenali. — Agensi
Kate bagaimanapun tidak membesarkan hal itu, malah meminta maaf sekiranya pelawaan terbabit sebelum masing-masing meneruskan ulasan mengenai perlawanan yang berakhir dengan kemenangan 5-0 buat PSG.
Meskipun respons Khabib itu menerima cemuhan di dunia Barat, masih ramai yang menyokong pendiriannya sebagai seorang Muslim yang menjaga batas di hadapan seseorang berlainan jantina.
Ini bukanlah kali pertama atlet berusia 36 tahun itu berbuat demikian kerana pada 2020, seorang lagi petinju UFC, Cynthia Calvillo mendedahkan Khabib enggan berlatih secara langsung dengannya.
Bagaimanapun, batasan itu tidak menimbulkan sebarang isu lanjut memandangkan Khabib masih melayani atlet wanita berkenaan dengan rasa hormat seperti mana dianjurkan Islam. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram